HIBURAN
Ning Baizura Seru Ibu Bapa Peka Perubahan Sikap Anak-Anak - “Anak Pernah Jadi Mangsa ‘Body Shaming’, Dipanggil ‘Dahi Jendul”
Penyanyi, Ning Baizura mendedahkan anak lelakinya iaitu Ryan Sky Dalton yang kini berada di tahun enam pernah menjadi mangsa buli dan ‘body shaming’ di sekolah.
Pernah berdepan buli siber
Menurut Ning, Ryan berdepan dengan buli siber menerusi kumpulan sembang (chat group) bersama rakan sekolahnya.“Sebab dalam ‘chat group’ dia telah dibuli, saya tengok bahasa budak budak zaman sekarang bukan main,” ujarnya.“Anak saya pernah dibuli, buli untuk zaman sekarang lain. Ada dua perbezaan, buli yang fizikal dan buli siber.“Walaupun anak saya bersekolah darjah enam, kita sebagai ibu bapa harus memantau apa yang ada dalam telefon, iPad atau apa sahaja.
Dipanggil dahi jendul
Tambah Ning lagi antara ejekan yang diterima anaknya termasuklah dipanggil ‘dahi jendul’.“Ada benda benda yang mereka kata dalam itu menjadi kebiasaan bermaksud perkataan perkataan yang tidak baik.
“Saya tanya pada dia apa masalah sekarang dan dia beritahu dia merasakan dirinya dibuli. Mereka kata macam macam termasuklah dahi jendul,” katanya.
Bertemu ibu bapa, selesaikan dengan baik
Melihat keadaan itu, Ning mengambil langkah untuk bertemu sendiri dengan ibu bapa pelajar yang terlibat, lengkap dengan bukti tangkap layar mesej buli berkenaan.“Kalau pergi terus ke sekolah, mungkin mereka akan kata tiada bukti, jadi saya terpaksa mengambil tindakan untuk berjumpa dengan ibu bapa mereka, kita berbincang secara terbuka dan selesaikan dengan baik,”kongsinya.“Jadi sebagai ibu saya mengambil tindakan untuk berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak itu beserta tangkap layar mesej berkenaan sebagai bukti adakah ini anak mereka.
Perubahan pada sikap anak
Ketika ditanya bagaimana menyedari anaknya dibuli, Ning berkata terdapat perubahan pada tingkah lakunya apabila dia enggan memotong rambut kerana khuatir bahagian dahinya terdedah.“Sebab Ryan ceria orangnya, tiba-tiba nampak ‘down’. Budak budak sekarang bukan jenis yang akan terus bercerita.“Dapat tahu sebab ada perubahan pada perwatakan dia, tiba-tiba dia macam tak nak potong rambut sebab dia mahu tutup bahagian dahinya.“Lama juga dalam dua tiga minggu. Jadi saya cakap dengan suami ada sesuatu yang tidak kena pada anak.
“Saya tidak tahu, mungkin kerana takut, dia kata dia boleh selesaikan. Jadi saya pujuk dia dan kemudian barulah dia beritahu ada budak-budak buli dia, kata dahinya jendul.
“Kemudian saya ada bagi ‘solution’, dua tiga hari selepas itu dia kata sudah selesai. Budak itu pun sudah minta maaf pada dia,” jelasnya.
Komunikasi anak dan ibu bapa penting
Ning juga menekankan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak amat penting dalam dalam menangani isu sebegini.“Saya percaya, sebagai ibu bapa, kita juga bertanggungjawab untuk pantau apa yang anak-anak kita lihat dan tulis di telefon,” tegasnya.“Sebab itu komunikasi penting, kita sebagai ibu bapa kena beri ruang untuk mereka bercakap dan membuat keputusan sendiri.
Saranan untuk sekolah
Dalam pada itu, Ning menyarankan agar semua sekolah termasuk sekolah rendah, menengah dan antarabangsa memperkenalkan sesi kesihatan minda atau mental wellness untuk murid-murid sebagai langkah pencegahan awal terhadap masalah buli.Dalam perkembangan lain, Ning merupakan juri bagi program Kilauan Emas 2025.“Budaya buli zaman sekarang sangat berbeza dari zaman dahulu. Sekarang ia meninggalkan kesan emosi yang dalam. “Saya harap sekolah ambil serius dan sediakan platform untuk anak-anak meluahkan perasaan mereka,” ujarnya.
Selain Ning, primadona Erra Fazira dan pelawak Roy Azman juga akan menggalas tanggungjawab yang sama.
Kilauan Emas 2025 akan bersiaran pada 16 Ogos 2025, setiap Sabtu, jam 9 malam di Astro Prima (Saluran 105).
Program ini dikendalikan oleh personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama, bersama Joey Daud selaku pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.
Musim kali ini turut memperkenalkan Zarul Husin sebagai hos Spotlight yang akan membawakan info-info menarik selepas konsert berlangsung dan bersiaran pada jam 11.30 malam di Astro Prima.
Manakala Keanu Azman dan Sarah Karmila pula diberi tanggungjawab sebagai hos Live+.
Kilauan Emas 2025 turut boleh distrim secara fleksibel menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box,
Astro GO dan aplikasi sooka.
Must-Watch Video