TERKINI
Nahas Pelajar UPSI: Tiada Masalah Mekanikal, Brek Dalam Keadaan Memuaskan
Kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun lalu bukan disebabkan masalah mekanikal kenderaan itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif untuk menyiarkan penemuan awal berhubung kemalangan itu.
Katanya, langkah itu bagi membantu siasatan lanjut oleh pihak berkuasa serta memberikan maklumat tepat kepada orang ramai berhubung kemalangan berkenaan yang mendapat perhatian awam.
"Berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), keadaan fizikal brek bas berkenaan membabitkan 'lining' dan 'drum' bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan memuaskan.
"Tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada 'drum' brek mahupun kenipisan pada 'lining' brek. Tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek itu yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Anthony berkata, berdasarkan pemeriksaan fizikal tayar pula mendapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan memuaskan dan mematuhi piawaian ditetapkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Komponen bahagian stering dan suspensi secara menyeluruh dalam keadaan memuaskan. Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.
"Justeru itu, kemungkinan besar kemalangan itu berlaku atas faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, langkah penambahbaikan bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.
"Kementerian ini ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami.
"Penguatkuasaan ferhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.
"Kami komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang," katanya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video