Nadya Syahera Tertekan Badan Kurus, Disamakan Seperti Bangau
ZULHILMI JALIL
17/12/2019
10:55 MYT
Pelakon Nadya Syahera mendedahkan bahawa dia berasa agak tertekan dengan keadaan dirinya yang semakin kurus.
Nadya atau nama sebenarnya, Nadya Syahera Rosli, 26, berkata, keadaan bentuk badannya yang kelihatan tidak ideal itu menyebabkan dia sering menjadi bahan ejekan orang sekeliling.
"Apabila jumpa orang, hampir semua orang yang saya jumpa, reaksi diorang, 'keciknya', 'kurusnya',' kaki ke ranting?',' macam bangaulah','bigbird lah','awat kurus sangat?' dan banyak lagilah.
"Sejujurnya, saya rasa down juga bila dapat kata-kata macam tu daripada orang sebab saya tak minta pun kurus kering macam ni," tulisnya.
Luahan itu dibuat pelakon Dia Semanis Honey itu menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Nadya memberitahu dia menyedari perubahan otot badannya semakin mengecil kira-kira setahun yang lalu.
"Kurus tapi kilogram kekal antara 47 hingga 50 kilogram. Orang kata berat tulang. Mungkin sebab hormon dan faktor mak anak dua kan," katanya.
Begitupun, kata Nadya, dia bersyukur kerana masih diberi kesihatan yang baik.
"Pada satu tahap saya rasa nak ambil macam-macam makanan tambahan supaya dapat gemukkan badan dengan cepat. Tapi fikir balik buat apa nak buat semua tu.
"Saya patut bersyukur walaupun saya kurus kering macam ranting ke, tiang elektrik ke, lantaklah. Sekurang-kurangnya saya sihat jarang sangat sakit demam," ceritanya.
Perkongsian Nadya itu kemudian mendapat pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata memberi sokongan kepadanya agar sentiasa yakin dan mengutamakan kesihatan berbanding bentuk fizikal.