HIBURAN
Mr E Berhasrat Segera Nikahi Erra Fazira: “Benda Yang Baik Kita Nak Cepat”
Usahawan yang kini akrab dengan pesohor seni Erra Fazira, Ezwan Zain atau lebih dikenali sebagai Mr E melahirkan hasrat untuk membawa hubungan mereka ke fasa lebih serius iaitu perkahwinan.
BERITA TRENDING: Erra Fazira Masih Terkenang Momen Bekas Suami Ambil Anak Ketika Usia 3 Tahun - “Sampai Sekarang Menyentuh Hati Saya”
BERITA TRENDING: Sudah Bawa Jumpa Ibu, Erra Fazira Masih Dalam Fasa ‘Manis’ Dengan Mr E - “Kalau Dahulu Nak Keluar Dating Mesti Akan…”
BERITA TRENDING: Mr. E Sifatkan Erra Fazira Seorang Yang Matang, Elegan, & Bijak - “Dia Juga Senang…”
Menurut Mr E lagi, sebagai seorang lelaki yang matang dan tidak mahu hubungan bersama Erra ‘terapung’ tanpa hala tuju, dia mahu segera menyunting bintang filem itu menjadi isteri.“Benda yang baik kalau boleh mahu cepat (menikah). Tahun ini atau tahun depan,” kata lelaki berusia 44 tahun itu ringkas.
Pengakuan tersebut disambut Erra: “Doakan, kalau okay semuanya berjalan baik dan lancar kita harap secepat yang mungkin (menikah). Tapi tahun ini atau tahun hadapan saya tidak tahu.”
Erra dan Mr E ditemui pada majlis Rumah Terbuka # Raya Sempoi anjuran Mind Order yang diadakan di premis keempat dan terkini Kueh Cafe yang bakal beroperasi pada Selasa di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor malam tadi.
Tampil sedondon memakai busana tradisional berwarna merah, kedua-duanya juga mengaku berkongsi misi dan visi yang sama sekaligus membuat mereka ada berbincang untuk membawa hubungan baik yang dijalin ke fasa seterusnya.
“Oleh kerana kami berdua pun sudah matang jadi kami mahu melalui hubungan ini tanpa tekanan. Chill-chill sahaja tapi tetap perlu ada perancangan, tidak boleh tergantung,” kata Mr E lagi.
Erra kemudian menjelaskan, dirinya sempat skeptikal untuk menuju ke gerbang pernikahan selepas lama hidup sebagai ibu tunggal.
“Saya dalam fasa ini saya ada fikir dan skeptikal untuk ke arah itu (kahwin) tapi untuk kebaikan dunia dan akhirat, saya perlu (kahwin).
“Cuma sekarang ini saya bukan sangsi (kahwin) tapi bila sudah lama sangat solo, sudah rasa selesa. Tapi saya fikir semula adakah hanya mahu rasa seronok dunia saja? Jadi fitrah manusia (berkahwin),” ujar Erra.
Erra bagaimanapun memberitahu mereka belum ke tahap berbincang dengan anak masing-masing mengenai perancangan membawa hubungan ke fasa yang lebih serius.
“Keluarga semua memang sudah saling kenal kerana untuk melangkah ke fasa seterusnya kami perlukan ‘green light’ semua tapi belum kaitkan anak-anak dengan perbincangan ini. Namun setakat ini Alhamdulillah mereka okay,” ujar Erra.
Pada Mac lalu, Mr E mengaku menjalin hubungan serius dengan Erra selepas berkenalan Ogos 2024.
Must-Watch Video