HIBURAN
Mierul Aiman Terbuka Peminat Singgah Beraya Di Rumah - “Setakat Ini Tiada Yang Serbu Kerana…”
Pelakon Mierul Aiman terbuka sekiranya ada peminat yang mahu hadir menziarah rumahnya sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Katanya, perkara tersebut tidak menjadi masalah sekiranya mereka berniat untuk memperkukuhkan hubungan silatulrahim bersama.
Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi mana-mana peminat yang bertindak sedemikian.
"Setakat ini tiada yang serbu lagi rumah saya, mungkin disebabkan saya baru sahaja pindah.
"Tetapi saya terbuka sahaja kalau tiba-tiba ada peminat datang dengan niat untuk menguatkan ukhwah bersama,” katanya ketika ditemui Gempak.
Sementara itu, pelakon drama Projek High Council itu juga menzahirkan rasa syukur kerana menerima banyak sokongan termasuk pelbagai barangan sebagai hadiah daripada kalangan peminatnya.
Bagi Mierul, hadiah tersebut merupakan satu penghargaan buat dirinya sebagai pelakon.
"Setakat ini Alhamdulillah tiada peminat yang agresif atau bersikap di luar batasan.
"Saya percaya, apa yang terjadi (hubungan bersama peminat) hasil daripada karya saya dalam lakonan. Jadi, saya terima sahaja.
"Alhamdulillah banyak juga hadiah mereka berikan seperti cincin, gelang, rantai malah ada menghadiahkan al-Quran. Bagi saya itu semua adalah penghargaan dan saya akan simpan," ujarnya lagi.
Must-Watch Video