BERITA
Mengenang Tun Abdullah Ahmad Badawi: Ini 7 Fakta Anda Perlu Tahu Tentang Pak Lah
Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdikiran jauh dan penuh dedikasi kepada negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Pak Lah Meninggal Dunia
Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai beliau yang mungkin tidak ramai tahu:1. Lahir dalam keluarga ulama terkemuka
• Tun Abdullah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau merupakan anak sulung dalam keluarganya yang terkenal dengan latar belakang keagamaan, dengan ayahnya, Haji Ahmad bin Haji Abdullah Fahim, yang merupakan seorang ulama terkenal di Pulau Pinang.
2. Alumni Universiti Malaya
• Pendidikan awal Tun Abdullah bermula di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Kepala Batas, sebelum melanjutkan pelajaran di Penang Methodist Boys School. Beliau kemudian menuntut di Universiti Malaya dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pengajian Islam pada tahun 1964.
3. Penglibatan aktif dalam gerakan pelajar
• Semasa di bangku sekolah dan universiti, beliau aktif dalam pergerakan pelajar. Beliau pernah menjadi Yang Dipertua Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai pada tahun 1957, serta Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada tahun 1962.
4. Karier politik yang cemerlang
• Tun Abdullah menyertai UMNO pada 1964 dan berjaya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978. Beliau memegang kerusi tersebut selama 35 tahun hingga 2013. Selain itu, beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam UMNO termasuk Naib Presiden dan Timbalan Presiden, sebelum dilantik menjadi Presiden UMNO pada 2004.
5. Pengerusi dan pengasas dalam NGO
• Beliau turut aktif dalam bidang NGO dan organisasi awam, memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), serta pengasas Institut Pengajian Islam Lanjutan (IAIS). Tun Abdullah juga memainkan peranan penting dalam Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang bertujuan memperkukuh kerjasama ekonomi negara-negara Islam.
6. Anugerah dalam dan luar negara
• Sepanjang hayatnya, Tun Abdullah telah menerima pelbagai penghargaan dan darjah kebesaran, termasuk Seri Utama Mahkota Wilayah pada 2010 dan Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) pada 2009. Beliau juga menerima anugerah dari negara luar seperti 'Grand Cordon of the Order of the Sacred Treasure' dari Jepun dan 'King Faisal International Prize' (Perkhidmatan kepada Islam) pada 2011.
7. Anugerah kehormatan dalam bidang pendidikan
• Di samping kejayaannya dalam dunia politik, Tun Abdullah juga dianugerahkan lebih daripada 20 anugerah doktor kehormat dari universiti dalam dan luar negara, termasuk daripada Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas sumbangannya dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan.
Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah seorang pemimpin yang bukan sahaja berjasa kepada negara, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada perkembangan pendidikan, agama, dan hubungan antarabangsa. Kejayaan beliau dalam pelbagai bidang menjadikannya sebagai seorang tokoh yang dihormati dalam sejarah politik Malaysia.
Sumber: Awani
Must-Watch Video