Berita
"Mama Sentiasa Mengira Hari Merenung Kalendar" - Fauziah Nawi Bayangkan Arwah Anak 'Tak Balik' Sebab Pergi Shooting Lama
Pelakon veteran Fauziah Nawi memberitahu bahawa dia tidak pernah walau sehari pun melupakan arwah anaknya, Pitt Hanif sejak pemergiannya sejak Oktober lalu.
Bahkan, katanya, dia seperti merasakan seolah-olah Pitt akan pulang dan hanya keluar bekerja untuk tempoh yang panjang.
"Sudah 140 hari buah hati mama pergi. Tak sehari pun mama lupa awak tau Pitt. Tempat duduk depan rumah tu memang mama sangkut kalendar di sebelah dinding kiri.
"Mama sentiasa mengira hari merenung kalender 2019 dan 2020. Masih tak rasa Pitt takkan balik, mama sesekali terfikir lambatnya penggambaran Pitt kali ini," luahnya menerusi satu entri di Instagram.
Di sebalik kesedihannya itu, menurut Fauziah dia bersyukur kerana masih mampu mengirimkan doa buat anaknya itu.
"Pitt, mama bersyukur Allah beri mama peluang setiap hari untuk mampu mengirim untaian doa berserta rangkaian bacaan Yasin dan Al-Mulk untuk Pitt, baba, atuk dan mak nek. Sehingga kita bertemu lagi sayangku," coretnya.
Perkongsian Fauziah itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata menyifatkan beruntungnya seorang anak seperti Pitt yang memiliki ibu seperti Fauziah.
Sejak pemergian Pitt, Fauziah bertindak memuat naik siri entri di Instagram miliknya setiap hari tanpa gagal sebagai catatan diari dan dedikasi buat arwah anaknya itu.
Pitt atau nama sebenarnya, Mohd. Firdaus Mohamad Hanif ditemui mati lemas di Sungai Jelai, Lipis Pahang apabila bot yang dinaiki karam pada Oktober lalu.
Pengarah filem Coast Guard itu meninggalkan seorang balu, yang juga pelakon Farah Ahmad dan tiga cahaya mata.
Must-Watch Video