GAYA HIDUP
Malaysia Di Tangga Keenam Dunia Paling Banyak Guna Kata Kesat
Malaysia tersenarai pada kedudukan keenam di dunia sebagai negara paling banyak menggunakan kata-kata kesat menerusi komen dalam talian iaitu dengan kadar 0.019 peratus.
Kajian yang dilakukan oleh Universiti Queensland di Brisbane, Australia melibatkan 20 negara yang menggunakan bahasa Inggeris itu mendapati, rakyat Amerika Syarikat (AS) paling banyak menggunakan bahasa kasar secara dalam talian.
Hasil kajian mendapati 0.036 peratus daripada jumlah perkataan yang ditulis oleh rakyat AS mengandungi unsur lucah atau kasar, diikuti Britain (0.025 peratus), Australia (0.022 peratus), Singapura (0.021 peratus) dan New Zealand (0.02 peratus).
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Lingua itu mendapati setiap negara mempunyai kecenderungan unik terhadap jenis makian tertentu.
Kajian itu menganalisis lebih 1.7 bilion perkataan yang digunakan dalam talian daripada 20 negara berbahasa Inggeris, termasuk Australia, Bangladesh, Kanada, Britain, Ghana, Hong Kong, India, Ireland, Jamaica, Kenya, Malaysia, New Zealand, Nigeria, Pakistan, Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Sri Lanka, Tanzania dan AS.
Negara yang berada di kedudukan paling rendah dari segi penggunaan bahasa kesat ialah Bangladesh (0.007 peratus), Ghana dan Tanzania (0.008 peratus) serta Hong Kong (0.009 peratus).
Walaupun begitu, negara-negara seperti Malaysia dan Ireland masih termasuk dalam 10 teratas dengan kadar penggunaan masing-masing sebanyak 0.019 peratus, diikuti Jamaica dan Kanada (0.017 peratus), serta Nigeria (0.016 peratus).
Kajian juga menunjukkan blog mengandungi lebih banyak kata kesat berbanding laman web umum kerana gaya penulisan blog yang lebih santai dan tidak formal.
Ketua penyelidik, Dr. Martin Schweinberger berkata, hasil kajian menunjukkan penggunaan bahasa kasar merupakan satu ekspresi budaya dan kreativiti linguistik .
Namun, beliau terkejut apabila rakyat Australia yang sebelum ini terkenal dengan gaya pertuturan berunsur makian, sebenarnya menulis lebih sopan berbanding warga AS dan Britain.
Sumber: Utusan Malaysia
Must-Watch Video