HIBURAN
Malam Penuh Magis, ‘The Greatest Concert’ Solo Amy Search
“Dugaan mengejar impian sangatlah besar tapi Abang dapat kawal emosi,” begitu luahan yang diterima lewat pesanan WhatsApp sekitar pukul 3.16 pagi yang dibalas Datuk Suhaimi Abdul Rahman selepas ucap tahniah di atas tuntas Konsert Amy Search Magic Konsert Solo Pertama di Axiata Arena Kuala Lumpur, 26 April 2025.
Abang, begitu Amy Search selalu membahasakan dirinya, sangat membumi sejak dahulu sehingga melihat bagaimana antusias dan kecintaan beliau tidak pernah surut terhadap belantika muzik meski usia masuk 67 tahun adalah satu penghormatan buat kami semua.
Living legend atau legenda yang masih hidup ini telah membuktikan bahawa di banyaknya fasa tidak enak karier yang dibina sejak tahun 80-an sehingga kini ; bersama Search, bergerak solo, perseteruan, terbentuk ‘Search A dan Search B’, diremehkan dan semuanya yang tidak enak ditelan remuk anak Johor Bahru ini diam-diam.
Sebab itu apabila beliau hanya menjawab soal dugaan mengejar impian sangat besar dan dapat mengawal emosi, Amy sebenarnya telah menang.
Amy menang bermaruah pada Konsert Amy Search Magic Konsert Solo Pertama hujung minggu lalu.
.jpg)
Amy menang bukan kerana mahu melawan tajamnya ego yang mahu menguburkannya dengan bermacam nista, tapi beliau menjadi juara kerana membuktikan betapa banyak pun yang mahu hayat seninya ‘mati’ sebaliknya vokalis rock nombor satu Malaysia ini terus hidup — malah semakin subur kerana berjaya menewaskan kebimbangan tentang kredibiliti yang menjalar dalam dirinya sendiri.
Dan sesungguhnya rugi juga buat peminat yang terlepas menonton konsert yang dimulai dengan tembang Gita Rama Sita sehingga kemudian dibuai dengan untaian hit demi hit termasuk segmen apresiasi buat sosok yang menghidupkan mimpinya, Datuk M Nasir sepertu Suatu Masa, Halaman Rindu (Lefthanded) dan Sejuta Wajah (Sweet Charity).
Hal ini lantaran tenaga kerja di belakang konsert ini telah melunaskan tanggungjawab mereka dengan unggul. Hasil kerja pentas, sistem bunyi dan pencahayaan yang disusun memperlihat betapa profesional semua pihak yang telah mengembleng tenaga di sebalik terzahirnya konsert ini. Terima kasih buat penerbit konsert, Jennifer Thompson dan pasukan.
.jpg)
.jpg)
Paling penting, dalam kebanyakan konsert Amy atau Search yang telah penulis diundang, Konsert Amy Search Magic Konsert Solo Pertama memiliki pengolahan dan susunan muzik baharu yang genius dan lebih kekinian. pemuzik luar biasa yang telah bermain dengan jiwa bukan mendabik dada.
Terima kasih buat keluarga instrumen ‘horns’ yang telah menghidupkan banyak tembang yang dipersembahkan pada malam itu menjadi sangat bernyawa. Tentu sahaja tidak lengkap ‘permainan’ pada konsert tersebut tanpa pemain muzik sejati ; dari dram, pemain bass, pemain gitar, pemain keyboard sehingga pengarah muzik.
.jpg)
Terima kasih pimpinan muzik yang diketuai oleh Rie Tsuji bersama Edrie Hashim dan rakan lainnya — kalian yang menjadikan persembahan pada Konsert Amy Search Magic Konsert Solo Pertama mewah dan bermaruah.
Tembang seperti Fantasia Bulan Madu, Isabella, Aku dan Kerja Gila selayaknya dirakamkan semula dalam versi yang disusun pada malam konsert lalu diputarkan di corong-corong radio sebagai sebuah ‘pembelajaran’ buat pemuzik generasi kini.
Malah siapa yang boleh menafikan rendisi dari Search dalam segmen khas bersama pendiri bersama kugiran itu, Hillary Ang seperti Gadisku, Rozana dan Pawana telah membuat seluruh stadium bergemuruh.
Ironi, jika kita tidak pernah mendengarkan album solo Amy dengan tembang seperti Saat Ku Idamkan, Aku Dah Bosan, Suralaya Dalam D Major, Kongkang dan Kalimah Cinta atau mendengarnya sambil lewa, sekali lagi susunan muzik yang dipersembahkan pada malam konsert itu membuat penonton tersedar bahawa deretan album solo Amy juga berkualiti tinggi dan melampaui pembuatan pada zamannya.
Setelah panjang lebar artikel ini, Amy pada usia emas, pada saat selalu ‘dibuli di media sosial’, pada saat dipandang enteng, pada saat selalu diminta ‘ingat kubur’, pada saat diejek suka hulur mikrofon kerana dinilai tidak lagi mempunyai vokal berkualiti ; ketahuilah Konsert Amy Search Magic Konsert Solo Pertama seperti menjadi garis mula kembali buat karier rocker yang telah menebarkan fenomena tersendirinya.
Ada magis yang telah kembali hangat. Ada kesungguhan ikhlas yang kembali berapi-api. Sama seperti kata beliau saat perlu akur mendendangkan Isabella sebagai penutup: “Kalau saya tidak nyanyi lagu ini habis stadium kena bakar.”
Mungkin setelah konsert yang secara peribadi penulis sifatkan terbaik pernah Amy lakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, karier Amy kembali meroket kerana kreadibiliti— meski cuba diperlahankan.
Ya, barangkali membaca tulisan ini seperti syok sendiri atau berat sebelah sehingga melupakan kecacatan atau tempang penganjuran konsert tersebut.
.jpg)
Namun jika kita boleh memilih menyebarkan hal yang baik dan manis mengapa mahu melihat sisi buruk?
Sokong dan dukunglah industri hiburan terutama pemain seni tempatan sama ada baru terjebak atau sudah lama bergelumang ; sementelah kita juga memerlukan hiburan sesuai selera dalam hidup yang keras ini. Sekian.
Must-Watch Video