HIBURAN
Majlis Tertutup Syafiq Kyle & Mimi Lana, Tetamu Puji Keputusan ‘No Phone’ - “Rasa Macam Kahwin Pada...”
Pelakon, Syafiq Kyle meluahkan rasa syukur apabila majlis persandingannya bersama isteri, Mimi Lana berjalan dengan lancar.
Lebih menarik kata Syafiq, dia dan Mimi telah menetapkan syarat kepada tetamu yang hadir agar tidak bermain telefon sepanjang majlis itu berlangsung.
"Bila kita buat rules tak boleh bawa phone semua orang bagi kerjasama yang baik, mereka sangat memahami terutamanya keluarga dan kawan-kawan.
"Saya rasa macam kahwin dekat tahun 1980, sebab tiada phone dan tiada orang yang sedang fokus dengan gadjet mereka. Jadi saya sangat bersyukur sebab semua orang bagi sokongan yang begitu baik semasa majlis saya,” kata Syafiq.
Sementara itu, Mimi juga berkongsi rata-rata tetamu yang hadir bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh pasangan mempelai itu.
Menurut Mimi, tetamu yang hadir meraikan hari bahagianya itu dapat menikmati momen istimewanya bersama dengan Syafiq.
"Selepas majlis rata-rata bersetuju dengan apa yang kitaorang buat. Sebab selepas beberapa hari majlis kami, lihat balik gambar-gambar kami ia sangat cantik sebab tiada phone langsung,” kata Mimi.
"Dan ada juga yang berkata mereka rasa terharu melihat kami pada masa itu kerana mereka dapat menikmati momen pernikahan itu tanpa gadjet,” ujar Mimi Lana.
Pada masa sama, Mimi dan Syafiq juga turut bersyukur kerana dapat mengadakan majlis kecil namun meriah.
Bagi mereka, dengan hanya 250 orang tetamu yang hadir mereka boleh memberi fokus kepada mereka sepanjang majlis berlangsung.
"Lokasi perkahwinan kami pun sangat cantik dan minimalis ditambah dengan tetamu yang datang juga tidak ramai hanya 250 orang sahaja, maka kami dapat melihat mereka dan bertegur sapa dengan mereka sepanjang majlis itu berlangsung,"
Pasangan ini melangsungkan pernikahan secara tertutup pada 14 Februari di Taiping, Perak, tanpa hebahan media, menghormati keputusan keluarga.
Hanya ahli keluarga dan kenalan rapat yang menghadiri majlis akad nikah serta resepsi mereka.
Sebelum ini, Mimi dan Syafiq pernah menjalinkan hubungan cinta selama beberapa tahun. Bagaimanapun, mereka membatalkan majlis pernikahan yang dijadualkan pada 18 Ogos 2023, sebelum akhirnya disatukan tahun ini.
Must-Watch Video