HIBURAN
Mahu Beri Persembahan Terbaik Di Antonim Night, Hael Husaini Bakal ‘Berkurung’ Seminggu
Penyanyi, Hael Husaini sentiasa mengamalkan rutin berehat selama seminggu sebelum terlibat dalam konsert atau acara berskala besar bagi memastikan kesihatan vokalnya berada pada tahap terbaik.
Hael, atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 38, berkata langkah itu merupakan salah satu usaha menjaga kualiti persembahan dan memelihara kotak suara daripada sebarang tekanan atau masalah kesihatan.
"Kesihatan amat penting untuk dijaga setiap kali ingin melakukan persembahan atau terlibat dengan acara besar. Tidak hanya saya, tetapi semua penyanyi juga sama," ujarnya semasa sidang media Hael Husaini Antonim Night yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, Jumaat lalu.
Tambah Hael, dia juga akan mengambil suntikan vitamin C dan rehat yang mencukupi sebagai persediaan sebelum acara konsert atau persembahan berlangsung.
"Sebagai penyanyi harus tahu tahap dan keadaan tubuh badan mereka. Macam saya, akan cucuk vitamin C dan beberapa perkara lagi.
“Risau memang ada, kebanyakkan penyanyi akan hilang suara setiap kali ada persembahan. Bagaimanapun, sebagai penghibur meskipun kurang sihat, show must go on.
"Selalunya, kalau melibatkan konsert atau showcase saya memang akan berehat selama seminggu, tidak mengambil sebarang tawaran supaya kotak suara saya dalam keadaan segar,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hael juga meluahkan rasa teruja apabila tiket Hael Husaini Antonim Nighthabis terjual dalam tempoh hanya 17 minit selepas dilancarkan.
"Saya agak terkejut, saya tak pernah sangka ada pengikut yang mahu beli tiket secepat itu. Saya jangka mengambil masa sehari atau lebih, tetapi apabila 17 minit, saya sangat berbesar hati
"Sedikit sebanyak showcase ini dapat mengubati kerinduan kepada mereka yang sebelum ini beli tiket konsert Hael Husaini Live in KL yang terpaksa dibatalkan.
Saya datangkan dengan hadiah yang baru iaitu Hael Husaini Antonim Night kepada peminat. Saya akan persembahkan lagu-lagu dalam album sulung saya di showcase ini,” tambahnya lagi.
Hael Husaini Antonim Night bakal berlangsung pada 31 Mei ini di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama.
Menariknya, sehari sebelum itu, penyanyi Nadeera juga akan mengadakan showcase sulungnya bertajuk An Evening With Nadeera di lokasi yang sama.
Kedua-dua acara ini dibawakan oleh Mask Team dan Usanita Entertainment.
Must-Watch Video