,
Laman Utama

#ListenToAided: Pejam Mata Sejenak, Hayati Lima Lagu Siti Sarah Ini Untuk Kenangan Kita Bersama...

Asraf Aided
11/08/2021
14:40 MYT
Perginya Siti Sarah ke negeri abadi meninggalkan kesan kepada kita, apatah lagi ahli keluarga yang menanggung dugaan berat itu.
Sehingga hari ini, platform media sosial masih belum berhenti dengan ucapan takziah diiringi doa daripada rakan-rakan industri dan orang ramai.
Industri hiburan tanah air berselubung duka dengan kehilangan seorang penyanyi berbakat besar, pelbagai lagu dan momen persembahan Allahyarhamah akan sentiasa diingati kita semua.
Di kesempatan ini, #ListenToAided mengajak anda imbas kembali lima lagu nyanyian Siti Sarah untuk kenangan kita bersama.
Kesetiaan
Sejak perginya Siti Sarah Isnin lalu, lagu ini trending di Twitter dan dimainkan di mana-mana sahaja, cuma bezanya, ia bukan didengari atas tujuan berhibur, tetapi sebagai pelepas rasa rindu.
Kesetiaan yang sebelum ini sering menjadi pilihan ramai di bilik karaoke, kini kedengaran sayu. Malah beberapa bahagian daripada liriknya juga mampu mengundang sebak apabila didengar.
"Mendambakan cinta ini hanya kekalnya denganmu, tapi kudrat tak di tanganku..."
Siapalah kita untuk melawan takdir Allah SWT, yang pergi tetap pergi. Tidak mengapa Sarah, kudrat tidak ada di tangan kita, yang pasti kami semua mendoakan kesejahteraan kamu di alam sana.
Saat Hilang Cintamu
Lagu ciptaan Ajai daripada Album Mimpi Yang Sama ini dinyanyikan dengan merdu dan penuh penghayatan oleh Sarah.
Boleh dikatakan, ramai antara kita membesar dengan lagu-lagu hit anak kepada penyanyi Raisuddin Hamzah ini.
Lagu ini mengisahkan teman wanita yang jenuh menanggung perih di hati, kemudian kekasih hatinya menerima balasan setimpal. Bagaimanapun, wanita itu tidak pernah meminta teman lelakinya dibalas sebegitu.
"Kesabaran menguatkan jiwaku untuk menempuh hidup ke akhir waktu..."
Cukup dengan sebaris lirik di atas, fikiran ini seolah-olah terus mengaitkan pengorbanan dan kesabaran Sarah bertarung nyawa akibat wabak COVID-19. Saya tidak mampu lagi melihat video terakhir beliau memeluk anak-anaknya sebelum meninggalkan mereka selama-lamanya.
Bersamamu
Hanya Tuhan yang tahu perasaan saya ketika menulis artikel ini, sebak bercampur baur. Saya masih ingat ketika di bangku sekolah, lagu ini merupakan salah satu lagu yang saya minati.
Saya sentiasa mengagumi vokal dan gaya persembahan Sarah, she's one of a kind!
Lagu ini mengisahkan rintihan seorang wanita yang inginkan hubungan cinta kembali mekar seperti sebelumnya. Dia berjanji akan setia selamanya selagi rasa sayang bertaut di hati.
"Jangan diucap selamat tinggal pada diriku yang menantikanmu..."
Potongan lirik di atas ini turut menyentuh hati saya. Siapa sangka, Sarah yang terlebih dahulu 'mengucapkan selamat tinggal' kepada suami, anak-anak dan kita semua.
Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada Shuib, anak-anak dan seluruh ahli keluarga Allahyarhamah pemergian ini.
Ku Teruskan
Lagu ini juga tidak kurang mendapat sambutan ketika mula dilancarkan sekitar tahun 2003.
Suara Sarah dalam lagu ini sungguh mempesonakan dari segi penghayatan emosi dan ada bunyi seperti cara nyanyian penyanyi antarabangsa.
Ku Teruskan mengisahkan sang kekasih yang ditinggalkan, rasa sesal juga muncul dalam diri andai pernah dia melukakan kekasihnya. Bagaimanapun, dia menyedari setelah apa yang terjadi, hidup perlu diteruskan.
"Ku imbas manis tingkahmu dalam rindu meruntun di jiwa mengenalimu, pasrahku menguatkan iringi perpisahan..."
Potongan lirik ini mengingatkan kita, meski hati pedih menanggung perpisahan, namun segala kenangan manis bersama orang yang disayangi tidak akan pergi bersama mereka, ia ada dalam memori kita.
Semakin
Terasa seperti baru sahaja lagi lagu ini dilancarkan. Lagu ini juga berjaya membawa Sarah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) pada tahun 2019.
Menariknya, lagu ini ditulis dan digubah oleh suaminya sendiri, Shuib yang menggunakan nama Mera Utama.
Lagu ini umpama hadiah daripada Shuib kepada Sarah. Tidak mampu menahan air mata apabila menonton kembali video Sarah di pentas AJL33. Sebelum persembahan bermula, Terpancar kegembiraan dan rasa bangga di wajah Shuib menanti nyanyian isteri tercinta di pentas berprestij malam itu.
Penghayatan Sarah membawa lagu ini ketika itu juga cukup luar biasa, manakan tidak, mempersembahkan naskah ciptaan suami sendiri tentunya memberi makna yang lebih besar kepadanya.
"Semakin jauh semakin aku rasakan betapa dekatnya dirimu di hatiku..."
Lirik lagu Semakin memberitahu kita, jika hati sudah sayang, apapun keadaan kita sanggup harungi bersama pasangan, kerana rasa cinta yang ada dalam hati itu juga hadir dengan sendiri tanpa dipaksa.
Demikianlah lima lagu Siti Sarah yang tentunya meninggalkan kesan kepada kita semua.
Untuk makluman, Terakhir Buat Teman merupakan lagu terakhir Sarah yang ditulis oleh Iman Imran dan dinyanyikan oleh Sarah bersama Hazama. Lagu tersebut merupakan lagu istimewa buat beberapa rakan industri yang telah tiada.
Manakala lagu berjudul Semakin Benci Semakin Cinta menjadi lagu terakhir Sarah bersama Shuib.
Terdahulu, Siti Sarah bertarung nyawa akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi Isnin.
Semoga Allahyarhamah diampunkan dosa-dosanya dan diberikan ketenangan di negeri abadi. Syurga menantimu Siti Sarah, Al-Fatihah...
*NOTA: Kolum ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis. Penulis juga menghormati sekiranya segelintir pembaca mempunyai pendapat yang bertentangan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Hollywood

Abang Mendiang Michael Jackson, Tito Meninggal Dunia Di Usia 70 Tahun

gempak
16/09/2024
21:00 MYT
Tito Jackson yang terkenal sebagai anggota Jackson 5 dilaporkan meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Berita

Bekas Pelumba GP Negara Meninggal Dunia

gempak
12/09/2024
03:26 MYT
Pelumba yang pernah membawa nama Malaysia ke peringkat Asia dan antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias, 40 meninggal dunia, semalam.
Berita

Penulis Blog Raja Petra Kamarudin Meninggal Dunia

gempak
10/09/2024
00:32 MYT
Blogger terkenal, Raja Petra Kamarudin meninggal dunia di Manchester, United Kingdom (UK) pada Isnin.
Berita

“Anak Saya Dibedung, Ditutup Dengan Kain…” - Bayi Lapan Bulan Mati Disumbat Botol Susu, Ditekup Bantal Oleh Pengasuh

gempak
06/09/2024
15:29 MYT
Apabila isterinya sampai di taska berkenaan, dia mendapati wajah anaknya Muhammad Al Fateh Amri sudah kebiruan selain bahagian mulutnya juga berdarah.
Hiburan

Bapa Fikry Ibrahim Meninggal Dunia - "Ayah Saya Sudah Kembali Ke Rahmatullah.."

gempak
06/09/2024
01:31 MYT
Bapa kepada pelakon, Fikry Ibrahim, Ahmad Ibrahim meninggal dunia pada Jumaat.