Laman Utama

#ListenToAided: Ledakan Lagu Usahawan Produk, Mana Satu Kegemaran Anda?

gempak
Asraf Aided
22/12/2021
14:10 MYT
Sponsor Banner
#ListenToAided: Ledakan Lagu Usahawan Produk, Mana Satu Kegemaran Anda?
Jika dahulu, kita hanya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi ataupun mereka yang sememangnya bergelar anak seni.
Namun semakin lama, industri hiburan tanah air diwarnai dengan pelbagai perkara baru sejak beberapa tahun kebelakangan, misalnya lagu-lagu yang dinyanyikan oleh pengusaha atau pengasas produk.
Penulis tidaklah menentang, mereka punya wang, atau ada pihak yang berminat untuk menghasilkan lagu buat usahawan-usahawan itu, jadi apa lagi? Jalan sudahpun terbuka.
Jika diperhatikan, jumlah tontonan video muzik lagu mereka di YouTube juga mencecah angka jutaan, malah ada yang mengalahkan jumlah tontonan lagu segelintir penyanyi sebenar.
Dari segi membina penjenamaan diri dan perniagaan, perkara sebegitu tentunya mendatangkan kebaikan seperti yang diharap.
Dalam #ListenToAided kali ini, mari imbas lima lagu yang dipopularkan oleh usahawan produk di Malaysia.
I Am Me - Vida (DSV)
Beberapa tahun lalu, lagu ini dilancarkan di bawah naungan KRU Music. Ia menjadi tular dengan begitu pantas diikuti pelbagai video parodi memenuhi media sosial.
Secara peribadi, penulis juga menyukai lagu dan video lirik lagu ini kerana ia betul-betul menunjukkan karakter DSV yang sentiasa gembira dan tahu mencuit hati orang.
Setakat ini, video lirik I Am Me telah mencecah 13 juta tontonan di YouTube.
Abang Nak Tegur - Aliff Syukri, Nur Sajat & Nur Shahida
Selain DSV, jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri juga tampil dengan beberapa lagu antaranya Abang Nak Tegur, hasil duet bersama rakannya, Nur Sajat.
Lagu yang juga bernaung di bawah label terkenal KRU Music ini mempunyai beberapa versi di YouTube.
Antara yang menarik perhatian adalah versi bersama Nur Sajat dan isteri usahawan sensasi itu, Datin Seri Nur Shahida.
Video muziknya dirakam di Sepanyol dengan menampilkan Aliff dan Sajat memakai persalinan berkonsepkan pakaian negara berkenaan.
Meskipun ada pihak yang mengkritik mereka ketika itu, mereka tetap gembira dengan apa yang dilakukan!
Jumlah tontonan video muzik lagu itu kini mencecah 2.9 juta selepas tiga tahun dilancarkan.
Makhluk Penggoda - Nur Sajat
Bukan sekadar ditampilkan dalam lagu Aliff Syukri, Sajat sendiri pun berani muncul dengan lagunya Mahkluk Penggoda!
Lagu ini pula menampilkan Aliff Syukri dalam rakaman vokal, video liriknya pula hanya memaparkan Sajat berseorangan mengenakan persalinan dan solekan glamour.
Video lirik di bawah naungan InDigital itu meraih 70,000 tontonan di YouTube sejak tiga tahun lalu.
La Vida Raya - DSV
Selepas I Am Me, DSV tampil sekali lagi menerusi ledakan lagu rayanya, La Vida Raya!
Lagu ini tidak kurang hebatnya kerana ia juga tular dan dimainkan sini sana ketika musim lebaran tiga tahun lalu.
Video muziknya juga menunjukkan suasana kemeriahan Aidilfitri yang dihidupkan oleh kunjungan keluarga, sanak saudara dan teman taulan.
Video muzik La Vida Raya edaran Seventeen Eleven Music di YouTube mencecah 8.6 juta tontonan sejak dilancarkan tiga tahun lalu.
Hujan - Iqbal
Baru-baru ini, bekas pembantu peribadi DSV, Iqbal juga membuat pertaruhan berani apabila tampil dengan lagunya sendiri berjudul Hujan.
Sebelum menghasilkan lagu berkenaan, Iqbal telah memberitahu hasratnya untuk tampil dengan sebuah lagu di media sosial.
Akhirnya, lagu Hujan dapat disiapkan hasil kerjasama Oja dan Zai Hamzah selalu komposer dan liriknya ditulis oleh Iqbal sendiri bersama Achoi Floor 88 dan Eric Fuzi.
Sejak dilancarkan di YouTube pada 1 November lalu, video muzik lagu edaran Rusa Music itu mencecah 2.1 juta tontonan.
Demikianlah sedikit imbasan lagu-lagu yang dinyanyikan oleh beberapa usahawan tanah air.
Apapun, soal minat atau tidak, ia bergantung kepada pilihan dan citarasa sendiri. Bagi penulis, jika sesuatu lagu itu ada keistimewaan, aura dan daya tarikan tersendiri, apa salahnya untuk kita minati.
Semoga kita berpeluang untuk bertemu lagi dalam #ListenToAided minggu hadapan.
Foto: Paparan skrin (screenshot) dari video muzik di YouTube & cover lagu (Iqbal)
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024