HIBURAN
Linda Hashim Dakwa Pernah Menjadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga - “Saya Ada Empat Laporan Polis & Hospital”
Pelakon Linda Hashim mendakwa dia pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak 2016.
Menurut Linda, atau nama sebenarnya Norhazlina Hashim, 41, dia mempunyai beberapa laporan polis dan hospital berkaitan kecederaan yang dialami menjadi punca utama dirinya nekad memfailkan perceraian.
“Saya ada empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung kecederaan yang dialami berhubung keganasan rumah tangga.
“Perkara itu pertama kali berlaku pada tahun 2016 dan terakhir kali adalah hari di mana saya keluar dari rumah pada bulan Oktober lalu,” katanya kepada Gempak.
Linda mendedahkan perkara itu usai proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Rabu.
Perkara itu turut disahkan oleh peguam yang mewakilinya, Nurul Fadzilah Kamaluddin selain memaklumkan anak guamnya juga sudah mengemukakan bukti kukuh berkenaan keganasan yang berlaku.
Tambah Linda, dia tidak teragak-agak untuk mendedahkan bukti yang lebih terperinci sekiranya berlaku provokasi daripada pihak Beego.
“Saya bukanlah mahu tekankan isu keganasan ini. Ada lagi benda-benda yang lain yang mengganggu saya dan mental saya serta anak-anak. Banyak lagi perkara lain yang saya tidak mahu dedahkan kerana tidak mahu panjangkan cerita.
“Tapi kalau misalnya pihak sana (Beego) mencungkil. Saya tidak teragak-agak untuk dedahkan semua sebab saya sudah lama bertahan. Benda itu kira amaran saya buat dia dan saya percaya itu juga harapan anak-anak,” jelasnya.
Linda bagaimanapun tegas mahu dilepaskan secara baik selain enggan memanjangkan proses perceraian tersebut.
“Saya tidak mahu jadikan kes ini semakin besar sebab menyusahkan kedua-dua pihak. Saya cuma mahu dilepaskan dengan baik.
“Tak payah nak manipulasi. Tak payah nak ‘play victim’. Salah tetap salah. Jangan tegakkan benang yang basah. Kita selesaikan cara baik. Dan kita boleh masih lagi berkeluarga selepas itu,” ujarnya.
Hari ini, mahkamah telah menetapkan 30 Jun sebagai tarikh mendengar laporan JKP.
Pada Januari lalu, Linda telah memfailkan perceraian buat kali ketiga di mahkamah sama terhadap suaminya, Beego atas alasan sudah tiada persefahaman.
Must-Watch Video