Hiburan
Les' Copaque Production Mahu Skrip Dongeng Sang Kancil Beri Impak Pada Penonton
Untuk menghasikan karya menarik, sudah pasti jalan cerita dan skrip memainkan peranan penting sama seperti filem animasi Dongeng Sang Kancil.
BERITA BERKAITAN: Duduk Berbincang, Akhirnya Les' Copaque Sepakat Terbitkan Kisah Binatang 'Sang Kancil'
BERITA BERKAITAN: Pelakon Suara Utama Dongeng Sang Kancil, Nini Razali Pikul Tanggungjawab Besar - "Walau Hanya Rakaman, Tapi Saya Perlu ..."
Berkongsi pengalaman dalam pembikinan Dongeng Sang Kancil, penerbit dan penulis skrip iaitu Nur Naquyah Burhanuddin memaklumkan pada peringkat awal, kesemua kumpulan produksi telah bersetuju ingin menampilkan cerita yang mengisahkan tentang haiwan.
Disebabkan ramai yang dibesarkan dengan kisah rakyat Sang Kancil maka kesemuanya bersetuju untuk menerbitkan filem melibatkan Dongeng Sang Kancil.
"Kami berfikiran disebabkan ramai juga yang dibesarkan oleh kisah Sang Kancil dan ia bukanlah benda yang asing jadi kami bersetuju menerbitkan filem tersebut.
"Cuma jalan ceritanya sahaja yang kita mahu jadikan lebih besar atau impak yang lebih luas berbanding sebelum ini.
"Jadi ini merupakan antara cabaran yang diberikan kepada penulis skrip,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naquyah berkata bagi memastikan jalan cerita Dongeng Sang Kancil lebih menarik, kerjasama dan perbincangan bersama semua produksi juga memainkan peranan penting.
"Jalan penceritaan Sang Kancil itu memang saya percaya ramai yang tahu, tetapi bagi saya menulis skrip perlu dari hati.
"Salah satu yang kita bincangkan ialah kemana arah kita mahu ketengahkan mengenai cerita ini.
"Kerana dalam filem mengenai haiwan ini kita ada harimau makan rusa dan adakah kita nak ketengahkan semua itu, atau kita sekadar mahu cerita yang menyanyi-nyanyi di dalam hutan sahaja. Jadi semua jalan cerita perlu difikirkan," jelasnya.
Filem Dongeng Sang Kancil yang diterbitkan oleh Les' Copaque Production akan menemui penonton di pawagam bermula 26 Disember ini.
Sinopsis:
Dongeng Sang Kancil mengisahkan tentang seekor Kancil bertekad membalas dendam atas kematian ibunya yang dibunuh kejam oleh Bayang Hitam.
Dengan bimbingan Gagak, Kancil memulakan pengembaraan penuh cabaran, berhadapan tiga pemangsa hebat: Helang Perkasa di langit, Gajah Belukar di daratan, dan Raja Buaya di sungai.
Dalam usahanya, dia perlu mengatasi setiap rintangan untuk menuntut keadilan.
Namun, ancaman semakin besar apabila Bayang Hitam mengalihkan sasarannya ke Hutan Rimba, menggugat seluruh kehidupan binatang di dalamnya.
Kancil mesti bertindak sebelum semuanya musnah.
Must-Watch Video