Sukan
Lapan Pemain Import Thailand Hangatkan STL 2019
Seramai lapan orang pemain import dari Thailand bakal menghangatkan saingan Sepak Takraw League 2019 (STL 2019).
Menurut Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PMS), Datuk Ahmad Ismail mengakui saingan STL 2019 bakal memberi saingan yang sengit buat semua kumpulan dengan kehadiran lapan pemain import dari Thailand.
“Bukan sahaja dapat menyaksikan libasan dan gulungan daripada pemain muda yang meningkat naik mahupun himpunan skuad kebangsaan namun dengan kehadiran pemain import dapat memberi persaingan sengit dari setiap kumpulan.
“Ini merupakan platform terbaik untuk mempersiapkan pemain untuk beraksi di Sukan SEA, Filipina nanti.
“Saya berharap agar sukan ini dapat menjadi penyeri kepada kilauan emas yang akan dikumpul oleh negara,” katanya kepada Gempak.
Ahmad Ismail berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media STL 2019, di Stadium MABA, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Selepas lima musim diadakan, buat pertama kali STL 2019 akan mula jelajah ke Pulau Pinang (Spice Arena) bermula pada minggu keempat diikuti Kelantan (Dewan MPKB-BRI, Kota Bharu), Perak (Stadium Indera Mulia, Ipoh) dan Johor Bharu (Iskandat Malaysia Studio).
Sementara itu, Stadium MABA, Kuala Lumpur bakal menjadi medan pertarungan dan pembuka tirai bagi minggu pertama hingga ketiga STL 2019.
STL 2019 merangkumi saingan STL Premier, STL Divisyen dan STL Champions Cup iaitu sebanyak 10 pasukan akan berentap masing-masing dalam saingan STL Premier dan STL Divisyen Satu manakala STL Champion Cup menghimpunkan empat pasukan terbaik dari dua-dua divisyen.
Saksikan STL 2019 pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula pada pukul 5.00 petang dan Spike@STL setiap hari Rabu pada pukul 10.30 malam di Astro Arena dan Arena HD (saluran 801 dan 802).
Dapatkan tiket untuk menyaksikan STL 2019 secara langsung di setiap lokasi STL atau melayari laman web www.tikethotline.com untuk pembelian.
Must-Watch Video