HIBURAN
Kontroversi Good Vibes Festival 2023: The 1975 Tak Bersalah
Hakim memutuskan kumpulan The 1975 tidak bertanggungjawab terhadap kerugian dialami Good Vibes Festival di Sepang International Circuit yang terpaksa dibatalkan pada Julai 2023 selepas penyanyi kumpulan itu, Matty Healy mencetus kontroversi mencium mulut pemain bassnya, Ross MacDonald.
Hakim, William Hansen menggugurkan dakwaan terhadap anggota kumpulan itu dan menyatakan tindakan mereka cuma buruk dari sisi undang-undang. Tiada alasan kukuh untuk meneruskan kes perbicaraan itu.
Hansen turut membenarkan fail saman dibuat terhadap penganjur, Future Sound Asia (FSA) dan memerintah syarikat itu membayar kos guaman berjumlah RM557,224.
Terdahulu, FSA menuntut ganti rugi sebanyak RM10.5 juta selepas Healy mengkritik undang-undang anti homoseksual di Malaysia ketika membuat persembahan.
FSA bertindak menyaman kumpulan itu atas kesalahan melanggar kontrak.
Bagaimanapun, peguam The 1975, Edmund Cullen bertegas saman perlu ditujukan kepada syarikatnya dan bukan kumpulan itu.
Cullen menyifatkan dakwaan itu satu percubaan tidak sah, palsu dan tidak menyeluruh untuk menyabitkan kumpulan itu sedangkan urusan kontrak FSA dibuat dengan syarikatnya.
Peguam FSA, Andrew Burns berkata, pihak berkuasa pada awalnya melarang kumpulan itu meneruskan persembahan kerana kebimbangan terhadap masalah ketagihan dadah Healy sebelum itu dan sedang dalam pemulihan.
Bagaimanapun, penampilan mereka kemudian diluluskan selepas The 1975 berjanji mematuhi garisan panduan dan peraturan ditetapkan.
Burns berkata, ketika The 1975 beraksi di festival sama pada 2016, mereka bersetuju untuk tidak mengeluarkan kata-kata kesat, merokok, meminum alkohol, membuka baju atau bercakap isu agama dan politik dia atas pentas.
Insiden berkucupan Healy dan MacDonald itu menerima kecaman hebat di Malaysia. Tindakan mereka diselar pelbagai pihak termasuk komuniti LGBTQ+ yang mendakwa mereka membahayakan perjuangan komuniti itu.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video