Laman Utama
KLFW2022 Jadi Penanda Aras Buat Jenama Neonate Clothing
Sudah enam musim menyertai Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), buat julung kalinya jenama yang diusahakan oleh pengacara dan pelakon Karl Shafek Ibrahim bersama rakan niaganya, Syahir Hamdan, Neonate Clothing mendapat slot pertunjukan solo untuk tahun 2022.
Tentulah, siapa sahaja yang mengusahakan jenama fesyen sudah pasti mendambakan pertunjukan solo di pentas popular itu dan ternyata, tahun ini tahun Neonate Clothing.
Ketika ditemui usai pertunjukan fesyen Neonate Clothing - Neostalgia yang diadakan di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, Shafek mengakui gembira dan berasa bersyukur atas kejayaan persembahan 50 gaya pada edisi kali ini.
Katanya, dia menyahut cabaran untuk menjayakan pertunjukan kali ini memandangkan KLFW2022 merupakan platform terbaik dan terbesar yang pernah diterima sepanjang melibatkan diri dalam bidang fesyen.
Retro
“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur kerana selepas enam kali melibatkan diri dengan KLFW, kami akhirnya menerima peluang untuk mengadakan pertunjukan solo. Ia satu hal yang sangat mengujakan.
“Jadi, bagi saya, ini merupakan masa yang sesuai untuk memberikan hasil yang lebih baik daripada sebelum-sebelum ini dan tentulah saya bersedia untuk menyahut cabaran yang diberikan,” katanya kepada Gempak.
Bercerita lanjut mengenai koleksi yang dipersembahkan kali ini, Shafek berkata, dia cuba untuk mengembalikan trend-trend retro fesyen, tetapi diberi dengan sentuhan baharu.
“Untuk info, inspirasi bagi koleksi Neostalgia adalah barang-barang lama yang ‘in’ suatu ketika dahulu. Saya dan Syahir gemar sesuatu yang vintaj dan kami akan cuba untuk terjemahkan semua itu dalam koleksi yang diberi nama Neostalgia ini.
“Pemilihan fabrik juga dilakukan dengan teliti, selain dipadankan dengan rekaan yang segar, padat dengan warna-warna yang memberi impak tetapi tidak keterlaluan. Selalunya bila orang sebut retro, akan terpampang dalam kepada warna yang striking.
“Namun, untuk koleksi ini, kita memilih untuk mencampurkan pelbagai jenis rona agar ia kelihatan senada tetapi mempunyai elemen tersendiri bagi setiap rekaan,” katanya lagi.
Wajah Neonate
Menyentuh mengenai pemilihan model dan wajah ilham, Shafek mendedahkan dia ‘memburu’ sendiri model-model yang terlibat menerusi sesi ujibakat yang dijalankan beberapa minggu sebelum pertunjukan fesyen berlangsung.
“Menerusi proses casting, kami telah memilih 40 orang model yang terdiri daripada pelbagai etnik, latar belakang, tinggi serta size. Pendek kata, kami cuba untuk lebih inklusif dengan rekaan yang model yang memperagakan.
“Selain 40 orang model yang turut menjalani latihan peragaan bersama model adibusana Tini, kami juga menjemput 10 wajah ilham (muse) yang terdiri daripada pempengaruh, selebriti dan juga supermodel untuk memperagakan koleksi kami,” kongsinya.
Sebelum menutup bicara, Shafek berharap agar jenamanya dapat berkembang seiring dengan koleksi demi koleksi yang akan dibikin pada masa akan datang.
Antara selebriti yang terlibat sebagai wajah ilham jenama ini adalah Datuk Aznil Nawawi, Puteri Balqis, kesemua anggota kumpulan Dolla, Norreen Iman dan dua wajah Gempak Daniel Cheang dan Isha Norsham.
Kredit foto: Taufiq Nadzri
Must-Watch Video