HIBURAN
"Kita Selalu Dengar Mitos Lama Telaga 'Korbankan' Nyawa Manusia" - Osman Ali Cerita Idea Hasilkan Telaga Suriram
Fenomena kehilangan kanak-kanak sering menggemparkan masyarakat dan menjadi antara isu yang paling memberi kesan emosional. Walaupun kebanyakan kes berjaya dirungkai oleh pihak berkuasa, terdapat juga kes terpencil yang kekal menjadi misteri dan meninggalkan tanda tanya.
Kisah-kisah inilah yang mencetuskan ilham kepada syarikat produksi Odissi Creative Sdn. Bhd. untuk menerbitkan filem penuh elemen mistik bertajuk Telaga Suriram, bawah arahan pengarah tersohor tanah air, Osman Ali.
Menurut Osman, idea asal filem ini diilhamkan daripada kejadian benar yang pernah berlaku, melibatkan seorang kanak-kanak yang ditemukan mati selepas terjatuh ke dalam sebuah telaga lama. Kepercayaan masyarakat terhadap unsur mistik dan kisah-kisah rakyat tentang telaga berhantu menjadi asas naratif filem ini.
Telaga Suriram mengangkat kisah kehilangan seorang kanak-kanak bernama Suriram, yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan penduduk kampung. Filem ini dibintangi barisan pelakon terkemuka seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty, dan pelakon cilik berbakat besar Puteri Rafasya.“Kita sering dengar mitos lama tentang telaga yang dikatakan ‘mengorbankan’ nyawa manusia. Kami ingin membawa elemen tersebut ke layar perak dengan pendekatan yang dramatik dan berakar kepada budaya turun-temurun,” ujar Osman.
Osman turut menekankan bahawa naskhah ini bukan filem seram klise.
“Kami tidak mahu sekadar menghidangkan kejutan atau penampakan hantu semata-mata. Filem ini lebih kepada menyentuh sikap masyarakat yang masih terbelenggu dengan mitos dan kepercayaan lama,” tambahnya.
Proses penggambaran filem ini turut menyaksikan cabaran tersendiri. Lokasi penggambaran yang dipilih terdiri daripada kampung tradisional di Perlis, Kedah dan Perak – kawasan yang kaya dengan cerita mistik. Osman mendedahkan bahawa terdapat kru produksi yang mengalami kejadian aneh sepanjang sesi penggambaran, termasuk terdengar suara misteri dan melihat kelibat yang mencurigakan.
Sementara itu, penerbit Yus Yusop menjelaskan bahawa filem ini tercetus daripada minatnya terhadap cerita rakyat tempatan yang sarat dengan nilai budaya dan unsur mistik.
“Kami mula merancang produksi ini sejak 2022 dan melalui proses pembangunan skrip serta suntingan yang sangat teliti. Selama tiga tahun, kami bekerja keras untuk memastikan hasilnya berkualiti tinggi dan meninggalkan impak mendalam kepada penonton,” jelas Yus.
Beliau turut berharap filem ini bukan sahaja disambut peminat genre seram, malah mereka yang menghargai karya berunsur budaya, sejarah dan seni tempatan.
Telaga Suriram merupakan filem ke-17 arahan Osman Ali dan merupakan produksi sulung Odissi Creative Sdn. Bhd., dengan kolaborasi syarikat milik Osman sendiri, Nuansa Films. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei 2025.
Must-Watch Video