HIBURAN
Kisah Srikandi Tun Fatimah, Tun Teja & Tun Kudu 'Dihidupkan Semula' Di Panggung Bangsawan Melaka!
Pentas teater Melaka bakal bergema dengan suara perjuangan tiga srikandi Melayu terulung dalam sejarah Tun Fatimah, Tun Teja, dan Tun Kudu apabila tiga naskhah teater hebat dipentaskan bermula hujung Mei ini di Panggung Bangsawan Melaka.
Inisiatif seni penuh bermakna ini dianjurkan bagi mengangkat kembali warisan budaya Melayu melalui pentas teater, dengan gabungan elemen sejarah, jati diri dan semangat kepahlawanan wanita. Lebih istimewa, dua daripada tiga naskhah ini secara khusus menyorot kehebatan tokoh wanita Melayu dalam lembaran sejarah negeri Melaka.
Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, pementasan ini bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi satu bentuk pendidikan tidak langsung buat masyarakat, terutamanya generasi muda tentang nilai dan warisan bangsa yang semakin dilupakan.
“Ketiga-tiga srikandi ini mewakili kekuatan, kebijaksanaan dan kepimpinan wanita Melayu. Melalui pementasan ini, kita bukan hanya bercerita tentang sejarah, tapi menghidupkannya semula dalam bentuk seni yang dapat difahami dan dihargai oleh khalayak moden,” ujar beliau ketika pelancaran rasmi di Panggung Bangsawan.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Timbalan Exco Pelaburan dan TVET Negeri, serta Puan Ezlina Elias, Pengarah JKKN Melaka.

Acara ini juga menyaksikan kolaborasi merentas sempadan antara Pertubuhan Teater Melaka dan kumpulan seni tersohor dari Singapura, Sriwana, hasil Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-22 di Singapura tahun lalu.
Menambahkan kemeriahan, beberapa nama besar turut membintangi produksi kali ini termasuk pelakon versatil Neera Azizi, Ashraf Muslim, jaguh silat negara Al Jufferi Jamari dan lagenda seni lakon Datuk Jalaluddin Hassan.
Inilah jadual pementasan yang tidak boleh dilepaskan:
🎭 Teater Bangsawan Sahmura: Empayar Melaka
📅 23 – 25 Mei 2025
🎭 Tinta Runtuhan: Bila Keris Berdenting Berbisik
📅 31 Mei 2025
🎭 Teater Tradisional Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka
📅 13 – 15 Jun 2025
Lebih daripada sekadar lakonan, pementasan ini dijangka menghidangkan visual, dialog dan suasana yang mampu membawa penonton menyelami semangat dan perjuangan zaman silam dalam bentuk yang segar dan dramatik.
Ia turut menjadi pentas simbolik buat wanita Melayu bahawa dalam sejarah, mereka bukan hanya suri di sisi, tetapi pemimpin yang berani berdiri.
Datuk Kalsom turut menyeru masyarakat agar hadir menyokong produksi tempatan ini.
“Kita ingin lihat panggung kembali hidup, penuh dengan semangat bangsa. Ini pentas kita, ini cerita kita,” katanya penuh harapan.
Must-Watch Video