TERKINI
Kes Rasuah Ismail Sabri: SPRM Akan Rakam Keterangan Jovian Mandagie Di Indonesia
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Datuk Jovian Mandagie, bekas menantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata proses rakaman percakapan itu akan diambil dalam tempoh dua minggu ini kerana individu terbabit kini menetap di Indonesia.
Jelas Azam, Jovian adalah antara nama yang tersenarai dalam pengisytiharan aset yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bera itu pada 10 Februari lalu.
Jovian sebelum ini berkahwin dengan anak Ismail Sabri, Nina Sabrina, dan mempunyai seorang anak perempuan. Mereka bercerai pada Ogos 2023.
Dalam pada itu, Azam berkata, siasatan ke atas Ismail Sabri dijangka selesai penghujung bulan depan.
Beliau berkata, setakat ini seramai 57 individu sudah direkod keterangan bagi membantu siasatan.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di ibu pejabat SPRM berhubung siasatan mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ia membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Sumber: Awani
Must-Watch Video