BERITA
Kerat Jari Teman Lelaki Bimbang Kahwini Wanita Lain
Seorang wanita Jepun mencetuskan kegemparan dalam talian selepas didakwa memotong jari manis teman lelakinya kerana terlalu obses dan bimbang lelaki itu akan berkahwin dengan wanita lain.
Suspek, Saki Sato, 23, seorang cosplayer (individu yang berpakaian dan berlagak seperti watak animasi atau permainan video), didakwa melakukan serangan kejam itu selepas bertengkar dengan mangsa yang berusia 21 tahun mengenai perpisahan mereka.
Menurut laporan media Jepun, kejadian terbongkar pada Januari lalu selepas mangsa menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan bahawa dirinya telah diserang.
Polis yang tiba di sebuah pangsapuri di Osaka mendapati mangsa mengalami kecederaan pada pipi dan hidung.
Lebih mengejutkan, dia mendakwa jari manis kirinya telah dipotong dan disimpan dalam peti sejuk serta direndam dalam alkohol.
Hasil pemeriksaan mengesahkan dakwaan itu. Polis turut menemui telefon pintar dan buku bank milik mangsa yang dikunci dalam peti besi oleh Sato.
Lebih mengerikan, siasatan mendedahkan bahawa Sato pernah memotong sebahagian puting mangsa tahun lalu, dengan alasan bahawa "puting lelaki akan tumbuh semula."
Mangsa dikatakan mengenali Sato melalui platform cosplay pada tahun 2023 ketika masih di bangku sekolah menengah.
Selepas terpesona dengan penampilan ‘comel dan manis’ Sato, mereka mula berhubung dan akhirnya tinggal bersama pada Julai tahun lalu.
Namun, Sato yang pada mulanya kelihatan penyayang, rupa-rupanya mempunyai sikap obsesif dan mengongkong. Dia hanya membenarkan mangsa menggunakan telefon atau buku bank dengan izinnya dan sering menunjukkan tingkah laku ganas apabila kehendaknya tidak dipenuhi.
Dalam kejadian pada 19 Oktober lalu, Sato dilaporkan menjerit: "Aku tak mahu kau kahwin dengan perempuan lain dan tukar cincin dengan dia!" sebelum bertindak kejam memotong jari manis kiri mangsa.
Lebih tragis, mangsa mengakui tidak pernah membuat laporan sebelum ini kerana tidak sanggup meninggalkan teman wanitanya yang dianggap ‘terlalu cantik’.
Sato kini berdepan tiga pertuduhan serangan dan telah didakwa secara rasmi pada 21 April lalu. Bagaimanapun, dia menafikan semua pertuduhan dan mendakwa mangsa memotong jarinya sendiri.
Kes itu mencetuskan perdebatan hangat di Jepun dan media sosial Asia, terutama apabila ramai mengaitkan perwatakan Sato dengan watak “yandere” dalam anime iaitu seorang wanita yang kelihatan manis tetapi boleh bertukar ganas demi cinta.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video