“Kenapa Ayah Tak Keluar Pun” - Kisah Adik Adlina Marie Yang Viral Ini Akan Diangkat Menjadi Lagu Terbaru Haqiem Rusli!
Awal tahun lalu Malaysia dikejutkan dengan kisah menyayat hati apabila seorang kanak-kanak berusia enam tahun menziarah kubur arwah bapanya.
Lebih meruntun jiwa, Adlina Marie bertanyakan kepada ibunya mengapakah arwah ayahnya tidak keluar dari kubur untuk melihatnya.
Video berkenaan viral di media sosial sekali gus menyentuh ramai netizen di luar sana yang bersimpati dengan nasib malang kanak-kanak tersebut.
Bukan sahaja itu, kisah tersebut turut menarik perhatian penyanyi Haqiem Rusli untuk menghasilkan satu lagu buat kanak-kanak berkenaan.
Menurut Haqiem, single tersebut telah pun siap dan muzik video juga bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Siapa yang tak sebak bila tengok video yang viral tu. Malah ia telah beri saya inspirasi dan ilham buat lagu khusus untuk adik Adlina.
“Saya akan mengangkat kisah benar Adlina Marie rindukan bapa yang terkorban dalam kemalangan.
“Kisahnya memang tentang Adlina tapi lebih kepada positif, cinta anak kepada ayah.
“Lagu ini agak lain sikit dengan lagu saya sebelum ni, ia power ballad tapi modern,” katanya.
Ditanya sama ada muzik video single terbaru itu akan turut menampilkan adik Adlina, Haqiem berkata seorang kanak-kanak lain akan digunakan sebagai pengganti.
“Saya baru je siapkan muzik video dua minggu lepas.
“Memandangkan COVID-19 ni, kami buat muzik ni cepat-cepat. Akan ada seorang kanak-kanak yang akan membawa watak Adlina.
“InsyaAllah Muzik Video akan keluar 21 Ogos ni,” katanya.
Haqiem berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian restoran mliknya iaitu SanThai Village di Platinum Walk, Setapak, baru-baru ini.