BERITA
Kelantan Negeri Kedua Paling Selamat Di Malaysia!
Kelantan berada di kedudukan kedua negeri paling selamat selepas Sabah berdasarkan nisbah jenayah indeks kepada populasi penduduk.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, walaupun isu sosial seperti penyalahgunaan dadah kerap dibangkitkan di negeri itu, namun penilaian keseluruhan perlu dibuat secara adil dan berpandukan data yang sah.
“Banyak persepsi negatif dilemparkan terhadap negeri ini tetapi berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia, Kelantan ialah negeri kedua paling selamat selepas Sabah dengan nisbah 96 jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk.
“Itu membuktikan keadaan keselamatan di Kelantan berada dalam tahap sangat baik dan tidak boleh dinilai hanya melalui satu dua kes yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri Galas, Mohd Syahbuddin Hashim (Barisan Nasional) dalam sidang Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.
Mohamed Fadzli berkata, negeri sempadan seperti Kelantan berada di barisan hadapan dalam berdepan ancaman seperti dadah terutama pil kuda dan jenayah rentas sempadan, namun tidak boleh diletakkan tanggungjawab itu hanya pada kerajaan negeri.
“Bila kita sebut masalah sosial, ia bukan hanya di Kelantan, malah seluruh negara dan dunia juga menghadapinya. Remaja kita sama seperti remaja di negeri lain, mereka semua anak bangsa kita.
“Kita harus lebih adil dalam melihat sebab, bukan sekadar menghukum negeri semata-mata,” ujarnya.
Beliau berkata, pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam turut menyumbang kepada pembentukan sahsiah rakyat yang lebih baik serta menjadi benteng kepada keruntuhan moral.
Menurutnya, dapatan daripada kajian Indeks Sosial Takwa juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan dan menggambarkan kekuatan nilai murni dalam kalangan rakyat Kelantan.
“Kita bukan hanya nilai dari sudut masjid, tetapi juga pendidikan, kebudayaan, cara hidup dan keseluruhan masyarakat.
“Kita tidak nafikan ada kelemahan, tetapi usaha untuk memperbaiki sentiasa berjalan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video