Laman Utama
Kartunis Aie ‘Blues Untuk Aku’ Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Buah Pinggang
Kartunis Aie yang popular dengan karya Blues Untuk Aku dilaporkan meninggal dunia pagi tadi (Isnin).
Aie atau nama sebenarnya Shaari Sulong menghembuskan nafas terakhir pada usia 48 tahun.
Berita duka tersebut turut dikongsi sahabatnya, kartunis Ujang atau nama sebenarnya Ibrahim Anon menerusi laman sosial Facebook.
Menurut Ujang, Allahyarham meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi di kediamannya di Sungai Manggis, Banting, Selangor.
Tambah Ujang lagi, sahabatnya itu meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.
“Innalillahiwainnailaihirrojiun…Mendapat perkhabaran duka....Kartunis Aie pelukis karakter Abe meninggal dunia jam 4.00 pagi tadi di kediamannya di Kampung Sg. Manggis, Banting, Selangor kerana komplikasi buah pinggang.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan di terima dalam golongan orang-orang yang di redhai Allah,” kongsinya.
Selain itu, kartunis Anuar Hassan atau lebih dikenali dengan nama Sireh turut berkongsi berita duka pemergian sahabatnya itu.
“Innalillahiwainnailaihirojiun...Salam Takziah. “Menerima perkhabaran pulangnya sahabat Shaari Sulong @ Kartunis Aie ke rahmatullah pagi tadi. Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yang beriman..
“Alfatihah.... Selamat berehat sahabat... Semoga tenang,” tulisnya.
Selain Sireh, syarikat penerbitan MOY Publications menerusi laman sosial Facebook Ujang MOY turut memberitahu mengenai pemergian kartunis masyhur dengan karya-karya hebatnya di majalah humor Ujang.
Aie merupakan kartunis popular pada tahun 90an dan sangat dikenali ‘Aku Hidup Dalam Blues’, ‘Blues Untuk Aku’, ‘Abe’ dan ‘Aku dan Sesuatu’.
Allahyarham juga merupakan antara pelopor utama majalah Ujang, bersama Gayour dan Ujang sendiri.
Must-Watch Video