SUKAN
"Kalau Ada Yang Tidak Kena, Beritahulah Saya, Jangan Aniaya Saya” - Faisal Halim
Pemain kebangsaan, Faisal Halim, mahu terus memandang ke depan dan memajukan kariernya walaupun perasaannya bercampur-baur berhubung siasatan terhadap kesnya yang disimbah asid di sebuah pusat membeli-beli di Ibu Kota.
Selepas setahun, pasukan peguam yang diamanahkan kelab Selangor itu dalam sidang media kelmarin menjelaskan perkembangan kes berkenaan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain surat bertarikh 18 Februari 2025 daripada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memaklumkan tidak dapat mengesan sebarang petunjuk.
"Sebagai mangsa, saya kecewa. Benda pun dah jadi, dah lepas. Saya berharap sangat berilah saya (peluang) kembali dalam kancah bola sepak.
"Kalau ada yang tidak kena, beritahulah saya. Jangan aniaya saya. Saya tiada salah silap dengan siapa-siapa, saya rasalah.
"Kalau ada salah silap, beritahulah daripada buat macam ini. Saya ada keluarga untuk ditanggung, karier yang saya kerja dari kecil.
"Saya orang kampung. Saya susah di kampung, saya jadi seorang pemain bola sepak bukan untuk kejar kesenanangan tapi kejayaan untuk menjadi pemain terbaik.
"Apa yang boleh saya katakan, saya terima dengan hati yang terbuka, saya redha. Inilah ruang untuk saya kembali dalam bola sepak.
"Saya hanya fokus kepada karier. Saya tidak mahu fikir kes, NFA atau apa. Itu tugas pihak polis.
"Saya tidak pasti sama ada boleh terima (atau tidak). Saya cuma mahu fokus kepada karier," katanya yang berkongsi ilmu bersama penyokong di Mengkuang Titi, Pulau Pinang, sebentar tadi.
Pada 5 Mei 2024, Faisal Halim bersama isteri dan anaknya sedang menuju ke kereta mereka selepas keluar dari sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Seorang lelaki yang memakai pelitup muka menghampiri mereka dan mengucapkan “good luck” sebelum menyimbah cecair dipercayai asid ke arah Faisal.
Serangan tersebut menyebabkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat pada bahagian leher, bahu, tangan dan dada. Beliau segera dikejarkan ke hospital dan menjalani beberapa pembedahan, termasuk pemindahan kulit.
Berikutan itu, PDRM telah menahan beberapa suspek berhubung kes ini. Seorang lelaki berusia 20-an ditahan pada 6 Mei 2024, diikuti oleh seorang lagi suspek berusia lewat 30-an yang ditahan pada 7 Mei 2024.
Walaupun beberapa individu telah ditahan dan disoal siasat, motif serangan masih belum dapat dipastikan. PDRM telah menjalankan siasatan menyeluruh, termasuk analisis rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengambilan keterangan daripada saksi-saksi.
Dalam masa yang sama, serangan terhadap Faisal Halim telah mengejutkan komuniti bola sepak Malaysia. Ia berlaku dalam tempoh yang sama dengan beberapa insiden keganasan lain terhadap pemain bola sepak tempatan, termasuk serangan terhadap Akhyar Rashid dan Safiq Rahim.
Sumber: Stadium Astro
Must-Watch Video