Hiburan
Jadi Mangsa Buli, Idan Aedan Pernah Ditendang Empat Pelajar Di Sekolah - “Mungkin Mereka Cemburu“
Pelakon, Idan Aedan berkongsi dirinya pernah menjadi mangsa buli ketika bersekolah di Perak.
Menurut Idan, kejadian itu dikatakan berpunca daripada segelintir pelajar lelaki yang cemburu dengan kebolehannya berbahasa Inggeris dan diminati ramai pelajar perempuan.
“Sebenarnya saya seorang yang introvert. Di rumah ibu besarkan saya untuk mahir bercakap dua bahasa.
“Jadi, di sekolah ada subjek yang saya cemerlang seperti bahasa Inggeris. Mungkin ada segelintir tidak puas hati dengan saya membuatkan mereka baling botol dari belakang.
“Tambahan pula dalam kelas itu ada beberapa gadis meminati saya. Mungkin mereka cemburu dan buli saya. Balik rumah saya menangis,” katanya.
Idan ditemui Gempak di majlis sidang media Budak Pendamping di Ampang, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, pelakon yang popular dengan siri Netflix, Mr Midnight: Beware The Monster itu mendedahkan dia juga pernah ditendang oleh empat lelaki tanpa sebab.
“Oh ya, ada satu lagi kejadian. Saya pernah disepak oleh empat orang pelajar lelaki sehingga lebam.
“Yang itu saya sendiri tidak tahu apa puncanya. Mujurlah saya lekas sedar kakak saya seorang Ketua Pengawas. Apa-apa, dia akan jaga saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Idan turut bersimpati dengan nasib pelajar yang pernah dibuli sehingga menyebabkan kurang keyakinan diri.
“Saya tidak boleh bayangkan budak-budak yang pernah kena buli sampai keyakinan diri mereka jadi rendah sehingga dewasa. Inilah kenapa kita tak patut sokong pembuli.
“Naskhah Budak Pendamping juga ketengahkan isu ini. Jangan kita buli orang lain sebab kita tak tahu apa yang mereka lalui,” tambahnya.
Selain Idan, antara pelakon yang turut menjayakan siri itu ialah Fimie Don, Syafie Naswip dan Puteri Sarah.
Must-Watch Video