Laman Utama
Isu Wali Merupakan ‘Jambatan’ Penguat Jalan Cerita Jack Yusof
Isu wali yang diketengahkan dalam siri Astro Originals Jack Yusof merupakan satu ‘jambatan’ untuk mengangkat hubungan anak dan bapa yang telah lama terpisah.
Menurut pengarahnya, Wan Hasliza Wan Zainuddin berkata, subjek yang kerap dibincangkan dalam kalangan masyarakat itu dapat memberikan nuansa berlainan terhadap jalan cerita drama yang menampilkan pelakon Datuk Rosyam Nor itu.
“Sebenarnya, idea asal untuk Jack Yusof ni datang daripada saya sendiri. Sebab saya terinspirasi daripada kisah kawan saya yang telah bercerai dengan suaminya.
“Bila anak dia dah besar dan nak kahwin, anak kawan saya mahu ayahnya menjadi wali, tapi ayahnya tak mahu. Jadi, terinspirasilah kisah ini.
“Sungguhpun wali itu subject matter, tapi elemen-elemen lain dalam Jack Yusof yang turut menghidupkan cerita ini secara keseluruhan,” katanya kepada Gempak.
Jack Yusof menyaksikan kemunculan semula Datuk Rosyam Nor sebagai watak utama menerusi drama bersiri selepas lebih 10 tahun. Rosyam membawakan watak komedi sebagai Jack Yusof iaitu seorang aktor senior yang popular, namun masih kelihatan muda kerana kerap menggunakan suntikan botox.
Walaupun hidup dalam kemewahan dan digilai ramai, tetapi Jack banyak melakukan kesilapan dalam kehidupan peribadinya, termasuklah meninggalkan anak perempuannya, Aida ketika masih bayi. Selepas beberapa tahun, Aida tiba-tiba muncul menghubungi Jack dengan satu tujuan.
Selain Rosyam, siri ini dibintangi Sharifah Husna, Raja Ema, Rashidi Ishak, Hafiz Halim, Fadlan Hazim, Adriana Adnan, Loganathan Kanabathy, Syed Muhammad Baqir, Uncle Samsuri dan tidak ketinggalan penampilan istimewa oleh Che Puan Sarimah Ibrahim, Raja Azura, Zain Hamid, Angeline Tan, Zarina Anjoulie, Steve Yap, Taufik Hanafi, Dian Fernandez, Maca (Marsya), Haidar Hasanuddin dan Amy Nur Tinie.
Drama 8 episod ini akan mula menemui penonton di platform On Demand dan Astro GO bermula 17 Jun, setiap Sabtu bermula jam 12 tengah malam dan di Astro RIA saluran 104 bermula 26 Jun, setiap Isnin, jam 9.00 malam.
Must-Watch Video