HIBURAN
Isu Ditipu Bekas Pengurus, Floor 88 Akui Terjejas - “Kami Dah Lama Tak Ada Tawaran Persembahan…”
Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie mengakui periuk nasi mereka terjejas kerana sudah kurang menerima tawaran untuk membuat persembahan di mana-mana acara.
Periuk nasi terjejas
Menurut Ayie, hal demikian berlaku selepas bekas kes bekas pengurusnya bertindak menyeleweng duit persembahan mereka meskipun sudah tidak lagi bekerjasama.
“Secara peribadinya, mental saya terganggu sebab saya dengan dia pun rapat. Bila dia berkelakuan macam ini kita rasa sedih.
“Bukan itu sahaja, kami semua ada komitmen. Tambah pula, antara kami ada yang sudah berkeluarga termasuk saya. Sebagai rakan, kami sangat terkilan.
“Kami juga sudah lama tidak ada tawaran untuk membuat persembahan. Malah, boleh kira pakai satu tangan saja sejak isu itu berlaku. Jadi macam mana kami nak bagi anak dan isteri makan,” jelasnya.
Hampir disaman
Malah kata Eric Fuzi yang juga merupakan salah seorang anggota Floor 88, mereka hampir disaman oleh beberapa penganjur kerana tidak hadir ke acara yang sudah dibayar wang deposit gara-gara terpedaya dengan bekas pengurus yang turut dianggap sebagai kawan rapat itu.
“Sekarang ini dia masih lagi menggunakan nama kami untuk terima tawaran persembahan. Itu yang kami rasa kami perlu buat kenyataan sebab kita tidak tahu dia berurusan dengan siapa.
“Kalau penganjur itu tidak tahu, dia ingat kita yang ambil duit tersebut sedangkan mereka berurusan dengan bekas pengurus kami. Ada beberapa pihak yang hampir saman kami sebab tidak hadir ke acara tersebut.
“Kami amat berterima kasih kepada penganjur tersebut kerana maklumkan perkara ini kepada kami. Kalau tidak kami pun tidak tahu perkara sebenar,” jelasnya.
Eric berkata demikian ketika ditemui Rumah Terbuka Ritma Riang Raya 2025 Rusa MVM Music, pada Selasa.
Harap bertanggungjawab
Tambah Ayie, dia berharap bekas pengurus mereka itu bertanggungjawab atas penipuan yang dilakukan malah tampil bertemu dengan pihak terlibat untuk menjernihkan keadaan.
“Saya mengharapkan dia datang berjumpa dengan kami berenam ataupun pihak syarikat rakaman sekali dan selesaikan masalah tersebut. Pihak Rusa Music juga pesan untuk berhenti kongsi gambar dia atas nasihat peguam.
“Kami masih mahu beri peluang. Jika dia datang dan berhubung dengan kami pun akan ada proses yang perlu dia lalui. Tetapi setakat ini dia hanya berani berhubung dengan Eric sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, Eric memaklumkan pihak Floor 88 sudah cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan bekas pengurus terbabit selepas kegiatannya terbongkar buat pertama kali.
Bagaimanapun, mereka kesal apabila kegiatan tersebut terus dilakukan oleh bekas pengurus terbabit demi kepentingannya sendiri.
Must-Watch Video