HIBURAN
“Ini Masa Yang Kritikal, Kita Tak…” - Zehra Zambri
Penyanyi Zehra Zambri hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi pada pagi Khamis bagi sebutan pertama permohonan perceraiannya yang dibuat terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan Samsudin.
Enggan mengulas lebih lanjut, penyanyi berusia 37 tahun itu meminta sebarang pertanyaan dikemukakan selepas prosiding.
"Ini masa yang kritikal, kita tak tahu apa yang berlaku di dalam (kamar mahkamah),” kata Zehra kepada Gempak.
Bagaimanapun, bekas wartawan penyiaran berkenaan berkata dia hanya menyerahkan kepada peguamnya untuk memberi kenyataan.
"Biar peguam saya yang jawab. Apa pun kita tunggu selepas prosiding," ujarnya.
Ditemani bapanya, Zambri Ahmad dan seorang adik lelaki, Zehra yang tiba di mahkamah sekitar pukul 8.35 pagi hadir mengenakan pelitup muka dan berjubah jingga.
Sebelum ini, suaminya berkongsi lima tuntutan permohonan perceraian yang difailkan oleh isterinya.
Menurut Iqwan, antara tuntutan tersebut merupakan tiada lagi persefahaman, culas menjalankan tanggungjawab dan pengabaian selain perkahwinan tidak dapat diselamatkan serta sikapnya.
Terdahulu, Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suami, Nur Muhd Iqwan Samsudin selepas mendakwa selama tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga.
Untuk rekod, Zehra mendirikan rumah tangga dengan Iqwan pada 10 November 2021. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri pada 14 Oktober 2017, namun ikatan itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata.
Must-Watch Video