Ibu Hempas, Bapa Tumbuk Bayi Dua Bulan
Seorang ibu tergamak mendera bayi lelakinya berusia dua bulan termasuk menghempas mangsa ke atas lantai bilik air sehingga parah ketika memandikannya di rumah sewanya di Taman Seri Pelangi, Alor Gajah, Melaka.
Suaminya pula didakwa telah menumbuk mangsa hanya kerana tidak tahan mendengar bayi tersebut kerap menangis.
Perbuatan kejam itu akhirnya terbongkar selepas kedua-dua suspek berusia 22 tahun ditahan di hadapan Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Melaka pada pukul 6.30 petang, Selasa lalu.
Tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada hospital berkenaan yang memaklumkan seorang bayi dipercayai menjadi mangsa dera.
Menurut sumber, bayi itu telah dihantar menaiki ambulans ke Hospital Alor Gajah pada Isnin lalu oleh suspek wanita iaitu ibunya dalam keadaan tidak sedarkan diri serta longlai sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, suspek memberitahu kepada pegawai perubatan kononnya anaknya itu diserang sawan sebelum meninggalkan mangsa seorang diri di Hospital Melaka sejak pukul 1 pagi tanpa sebarang pemantauan.
“Wanita terbabit kemudian menghubungi suaminya supaya mengambilnya untuk pulang ke rumah sebab penat dan bayi tersebut ditinggalkan begitu sahaja.
“Hasil pemeriksaan mendapati, mangsa mengalami pendarahan lama dan baru di dalam kepala, selain kesan lebam serta luka-luka di badan dan leher disyaki akibat didera.
“Bayi itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak Hospital Melaka,” katanya.
Ekoran kejadian itu, polis telah menahan pasangan suami isteri muda terbabit dan mereka kini direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Perintah reman dikeluarkan oleh Hakim Haderiah Siri di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.