GAYA HIDUP
Ibu Bapa Boleh Guna Duit Raya Anak Sesuka Hati? Ini Penjelasan Pejabat Mufti
Setiap kali Syawal, pemberian duit raya menjadi satu tradisi terutama kepada anak-anak malah ia juga simbol kemeriahan dan menjadi ‘harta kecil’ mereka.
Hukum guna duit raya anak
Namun persoalan yang sering timbul adalah bolehkah ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak mereka sesuka hati tanpa perlu menggantikannya?
Menjawab persoalan ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan penjelasan berdasarkan hukum syarak dan pandangan para ulama dalam isu ini.
Secara asasnya, duit raya yang diberikan kepada anak-anak adalah milik mereka sepenuhnya. Maka, hukum mengambil harta orang lain tanpa keizinan pemiliknya adalah haram, sekalipun pemiliknya itu masih kecil. Hal ini bersandarkan kepada keumuman hadis Nabi SAW yang melarang pengambilan harta seseorang tanpa kerelaannya.
Ibu Bapa Sebagai Pemegang Amanah
Dalam konteks pengurusan harta anak-anak, Islam meletakkan tanggungjawab besar kepada ibu bapa sebagai pemegang amanah. Mereka wajib menjaga dan menguruskan harta anak-anak demi manfaat dan kebaikan anak-anak itu sendiri. Ini termasuklah menyimpannya dengan selamat, membelanjakannya secara berhemah untuk keperluan anak, dan tidak menggunakan harta tersebut untuk kepentingan sendiri.
Boleh Guna, Tapi Dalam Keadaan Tertentu Sahaja
Menurut pandangan jumhur fuqaha (majoriti ulama) seperti mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki, seorang bapa tidak dibenarkan mengambil harta anaknya melainkan dalam keadaan yang memerlukan sahaja, seperti ketika berlaku kecemasan, keperluan mendesak, atau maslahat yang jelas untuk si anak.
Ini bermakna, ibu bapa tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan duit raya anak-anak untuk keperluan peribadi, contohnya membeli barangan dapur, membayar bil rumah, atau untuk berbelanja raya sendiri, tanpa alasan kukuh yang memberi manfaat langsung kepada anak.
Jika Sudah Terambil, Wajib Ganti Semula
Sekiranya ibu bapa telah menggunakan duit raya anak-anak tanpa keperluan yang dibenarkan syarak, maka wajib ke atas mereka untuk menggantikannya semula. Ini kerana, bersikap cuai, tamak atau mengambil kesempatan ke atas harta anak dianggap satu dosa dan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan.
Penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ini jelas menunjukkan bahawa duit raya anak-anak bukanlah tabung kecemasan ibu bapa, dan ia tidak boleh digunakan sesuka hati. Hanya dalam situasi keperluan yang sah dan untuk manfaat anak sahaja ibu bapa dibenarkan menggunakannya. Dan jika telah digunakan dalam hal yang tidak dibenarkan, maka ia perlu diganti.
Must-Watch Video