VIRAL
"I Love You, Zara Sayang Mama, Cinta, Rindu..." - Rakaman Suara Arwah Zara Qairina Undang Sebak Warganet
Rakaman perbualan telefon antara Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan ibunya, Noraidah Lamat, kembali menyentuh hati ramai selepas dimuat naik ke Facebook penceramah bebas, Marhamah Rosli, pada Rabu.
Menerusi video berdurasi satu minit itu, suara manja arwah kedengaran menyebut dengan penuh kasih, "I love you, ma. Zara sayang mama. Sayang. Cinta. Rindu," ungkapan jujur seorang anak kepada ibu yang menjadi tempat seluruh tumpuan cintanya.
Perbualan itu turut memperdengarkan suara ibu yang berkali-kali menasihati Zara agar tabah dan berhati-hati menghadapi hidup, disambut mesra dengan balasan sayang dan rindu oleh satu-satunya anak tunggal itu.
Zara, 13, sebelum ini ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran bangunan asrama sekolah menengah agama di Papar, Sabah pada 16 Julai.
Dia disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) akibat kecederaan serius. Kes tersebut kini disiasat oleh pihak polis selepas timbul dakwaan unsur buli di sekolah berkenaan.
Marhamah dalam hantarannya menyatakan bahawa audio itu dikongsi dengan keizinan ibu Zara, sebagai bukti kasih sayang yang sukar disangkal antara dua insan yang tidak dapat dipisahkan oleh masa atau tragedi.
Namun, di sebalik rasa simpati dan doa yang tidak putus daripada masyarakat, wujud juga segelintir pihak yang menabur tuduhan tidak berasas terhadap keluarga arwah, termasuk dakwaan palsu kononnya Zara membenci ibunya."Itulah suara arwah Zara dalam rakaman panggilan telefon kepada ibunya… Rakaman ini disimpan kemas, kenangan terakhir. Suara satu-satunya anak yang Allah pinjamkan buat seorang ibu. Dan kini, itulah satu-satunya pengubat rindu, kerana selepas ini, suara itu tidak akan kembali lagi," tulisnya, disertakan emoji menangis.
"Begitu mudah lidah manusia membuat kesimpulan. Begitu ringan menuduh, sedang yang difitnah sudah tidak mampu lagi membela diri," tegas Marhamah.
Beliau menjelaskan bahawa pendedahan rakaman itu bukan bertujuan meraih simpati atau memenangi perdebatan, sebaliknya untuk menzahirkan kebenaran yang tidak sempat diucapkan sendiri oleh Zara.
"Begitukah suara seorang anak yang membenci ibunya? Kalau benar kita masih punya hati dan perasaan, dengarlah rakaman ini dengan ikhlas. Zara sudah tiada, tetapi maruahnya masih perlu kita pertahankan," ujarnya.

Katanya lagi, kebencian tidak seharusnya dijadikan pelindung untuk menutup kesalahan diri.
Tanda pagar #JusticeForZara terus digunakan oleh netizen sebagai solidariti menuntut kebenaran buat arwah, yang kisah pemergiannya masih menyentak nurani rakyat Malaysia."Kita sangka kita sedang menjatuhkan orang… rupanya kita sedang menggali lubang untuk diri sendiri. Di mana hilangnya simpati? Ke mana tenggelamnya empati? Mempertahankan diri dengan menumbuhkan benci," luahnya penuh kesal.
Must-Watch Video