HIBURAN
Hun Haqeem Pernah Kira Duit Seringgit Demi Beli Tiket Balik Beraya Ke Sarawak - “Harga Tiket Ibarat Ulang Balik Jepun”
Pelakon, Hun Haqeem mendedahkan pernah mengikat perut semata-mata mahu membeli tiket penerbangan untuk pulang beraya ke kampung halamannya di Kuching,Sarawak.
Disebabkan kekangan kewangan, pemilik nama Haqeem Hermy ini berkongsi pernah tidak pulang ke Sarawak selama dua tahun dan hanya menyambut raya di perantauan.
“Saya pernah ikat perut untuk simpan duit untuk balik kampung dan saya juga pernah tak balik Sarawak juga jadi saya kerja masa musim perayaan dekat kedai kopi di kolej.
"Jadi saya ambil sebab kita pun tersedak untuk pakai duit. Jadi selepas beraya sekejap terus pergi kerja dekat kedai itu.
“Saya pun pernah dua tahun tidak balik ke Sarawak sebab duit tak mengizinkan, jadi saya akan beraya dengan keluarga dekat sini,” katanya.
Selain itu, pelakon Honey Minta Maaf itu juga berkata harga tiket penerbangan yang mahal setiap kali musim perayaan menjadi cabaran terbesar buat anak perantau sepertinya.Jelas Hun, dia juga pernah berdepan dengan situasi dimana harus mengira duit seringgit bagi membeli tiket untuk pulang beraya.
“Kita struggle dari segi ekonomi, sebab setiap kali musim perayaan mesti tiket mahal untuk balik Sarawak.
“Saya pernah kerja dekat kedai kopi masa dekat kolej, sampai satu masa saya pernah kira duit seringgit untuk saya beli tiket untuk pulang ke Sarawak sebab harga nak balik sana harga dia tak masuk akal. Dia ibarat kita boleh beli tiket ulang alik Jepun,”Kongsi Hun kepada Gempak.
Pernah melalui detik sukar itu, Hun turut mendoakan agar semua anak perantau sentiasa kuat dan dipermudahkan urusan mereka, terutama yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga.
“Kepada perantau-perantau di luar sana kuatkan semangat, InsyaAllah urusan anda dipermudahkan dan enjoy your raya,” ujarnya.
Must-Watch Video