Berita
Hetty Koes Endang Beri Penghormatan Terakhir Buat Allahyarham Ahmad Nawab, Kongsi Momen Terindah Sepanjang Rakam Lagu Bersama
Penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang sempat berkongsi memori terindahnya ketika merakamkan lagu bersama Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.
Menurut Hetty, 67, arwah sentiasa memuji nyanyiannya sepanjang sesi rakaman lagu di studio.
“Saya ada banyak lagu yang saya rakam tapi saya tidak ingat. Dari pagi saya merasa terkejut membuatkan saya terlupa beberapa perkara.
“Antara kenangan manis ketika merakamkan lagu. Tentu mempunyai memori yang tersendiri kerana ketika saya merakamkan lagu tersebut, arwah menunggu di studio dan saya akan bertanyakan adakah nyanyian saya okay atau tidak?
“Arwah terus berkata apa yang awak nyanyikan pasti masuk ke dalam hati saya kerana lagu-lagu dari arwah sangat melodis.
“Jadi, bila saya ditugaskan untuk menyanyikan lagu arwah dengan penuh penghayatan dan bila di studio saya bertanyakan lagi ada kekurangan ke dan beliau membalas tiada kekurangannya,” katanya kepada Gempak.
Hetty Koes Endang berkata demikian ketika ditemui di kediaman Arwah Tan Sri Ahmad Nawab di Taman Melawar, Gombak, Kuala Lumpur, Isnin.
Sering berulang-alik Malaysia-Indonesia, Hetty memaklumkan Allahyarham Ahmad Nawab akan sentiasa menonton persembahannya meskipun dari kaca televisyen.
“Cucunya akan memberitahu saya yang arwah akan menonton persembahan saya.
“Oleh itu, saya harus datang untuk melihat beliau untuk beri penghormatan terakhir... Saya betul-betul rasa kehilangan.
“Selepas konsert GV minggu pertama tamat, saya terus bagitahu ke suami saya untuk datang ke surau untuk melihat arwah buat kali terakhir.
“Waktu kehilangan arwah sudirman dan Sharifah Aini, saya tidak sempat untuk menghadiri pengembumian mereka sebab saya berada di Jakarta, Indonesia. Untuk kalini saya perlu hadir ke sini,” ucapnya.
Terdahulu, lagenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab menghembuskan nafas terakhir pada usia 92 di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves pada Ahad.
Keadaan Allahyarham dikatakan lemah selepas dibenarkan pulang daripada menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.
Sepanjang hayatnya, beliau telah menggubah 2,000 lagu sejak memulakan kerjaya muzik pada usia 16 tahun.
Beliau dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur.
Must-Watch Video