,
Laman Utama

Harung Air Dengan Kasut Tinggi, Misha Omar ‘Tersidai’ Depan Sogo

Maliah Surip
19/12/2021
04:50 MYT
Penyanyi Misha Omar tidak menyangka akan menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang berdepan detik mendebarkan apabila secara tidak sengaja terperangkap dalam bencana banjir yang melanda ibu kota, sejak semalam.
Kejadian tidak terduga itu terjadi usai Misha membuat persembahan pada kemuncak Anugerah Drama Sangat (ADS) 2021 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), malam tadi.
Menurut Misha, dia dan kakak yang juga merupakan pengurusnya, Mimie Omar pada mulanya mahu menginap di bilik hotel berhampiran kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya atau banjir untuk pulang ke rumah.
Namun, sewaktu melihat suasana jalan raya sesak dari tingkap bilik hotel, mereka mendapat maklumat tempat parkir kenderaan sudah mula dinaiki air.
“Kami dimaklumkan air di bahagian basement parking sudah ditenggelami air sehingga buku lali.
“Tanpa berfikir panjang, dalam keadaan kelam kabut saya redah banjir dengan heels dan mahu segera keluar dari kawasan parking.
“Memang waktu itu keadaan sangat kelam kabut kerana ramai yang mahu menyelamatkan kereta ke tempat lebih selamat dan keluar dari kawasan tersebut,” ujar Misha Omar sewaktu dihubungi Gempak.
Misha dan suami serta anak lelaki sulungnya, bagaimanapun sekali lagi berhadapan saat cemas apabila terperangkap di hadapan kawasan jalan Sogo kerana paras air dari sungai berdekatan sudah mula melimpah keluar.
“Kami dan banyak kenderaan lain terperangkap di hadapan Sogo bila air mula melimpah ke jalan raya. Mujur, semuanya selamat,” ceritanya lagi.
Menyifatkan pengalamannya tidak seberat dugaan dan ujian yang sedang dilalui mangsa banjir yang lain, Misha mendoakan agar semua berada dalam keadaan selamat dan negera segera pulih dari musibah yang melanda.
“Pengalaman saya tidaklah sebesar dugaan yang sedang dialami oleh banyak rakyat Malaysia yang lainnya. Kereta tenggelam, rumah ‘hilang’ yang tinggal paras bumbung.
“Demi Allah tak terbayang saya ujian mereka. Semoga semuanya dipermudahkan dan sama sama kita berdoa agar hujan cepat berhenti dan banjir segera surut,” katanya.
Terdahulu, siaran langsung ADS 2021 terpaksa ditangguhkan berikutan bencana banjir. ADS 2021 dihentikan selepas pengumuman pemenang kategori Drama Mandarin Terbaik yang dimenangi Bonus Vacation.
Instagram: @mishaomar
Topic Berkaitan
Must-Watch Video