HIBURAN
Han Zalini, Jay Iswazir & Cristina Suzanne & Azman Hassan Bakal Muncul Dalam Pementasan Teater Keluang Man
Watak animasi adiwira TV yang pertama dan popular sekitar tahun 90'an, Keluang Man bakal dijadikan pementasan teater.
Teater Keluang Man
Kerjasama tiga pihak iaitu diantara Kelab Keluang Man, Studio Sedar Ruang dan Galeri Kamn Ismail telah dimeterai agar teater yang dihasilkan boleh menemui para peminat adiwira lagenda pada bulan April tahun ini.Setiausaha Kelab Keluang Man, Firdaus Omar berkata, mereka sering menjalinkan kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai pihak yang menyokong dan berminat dengan potensi jenama Keluang Man sebagai cara untuk kekal relevan.
“lanya juga merupakan salah satu impian Kamn Ismail untuk melihat karya seni beliau diadaptasikan dan dipertingkatkan ke bentuk medium yang berbeza selain animasi dan komik.“Ini juga merupakan cara untuk memastikan Keluang Man terus relevan dan malar segar disemua peringkat umur dan masyarakat. “Oleh hal yang demikian teater merupakan salah satu medium persembahan yang sesuai untuk mengadaptasikan karya animasi ini ke bentuk yang lebih nyata, selain filem dan program di kaca tv.
“Antara tujuan lainnya, projek teater ini memberi peluang kepada para pelajar terlibat mengurus sebuah persembahan dan pementasan.
“Ini sebahagian daripada skop pembelajaran mereka yang terlibat.
“Atas dasar tanggungjawab sosial juga, Kelab keluang man bersama-sama menggembleng tenaga dan mangajak khalayak untuk menonton filem Keluang Man terbitan Astro Shaw yang akan ditayangkan bermula 29 mei nanti,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Keluang Man, Amir Hamzah berkata peranan dan matlamat kelab itu adalah menyatukan pergerakan bekas karyawan animasi Keluang Man dan peminat animasi tersebut dalam satu wadah.
“Kami menjalankan aktiviti yang pelbagai seperti seni, sukan, rekreasi, kebajikan dan lain-lain aktiviti yang dapat memberi kebaikan kepada ahli-ahli Kelab dan masyarakat.
“Memupuk semangat perpaduan, kemesraan, keharmonian dan toleransi serta mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan ahli lama dan baru.
"Kelab Keluang Man juga menggalakkan dan sentiasa menganjurkan aktiviti sosial dan akademik seperti pameran seni kartun dan animasi, pertandingan melukis dan mewarna, kelas latihan, bengkel atau seminar animasi serta pengumpulan hasil karya kartun dan animasi Keluang Man mahupun lain-lain produk kartun tempatan di kalangan ahli.
“Malah maskot Keluang man dan Tiong Man sentiasa menjadi tumpuan utama di semua aktiviti dan program yang dijalankan" ujarnya.
Kelab Keluang Man yang telah diasaskan bersama oleh pencipta, penulis dan pengarah asal watak animasi Keluang man, Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan Panggilan Kamn Ismail serta tenaga kerja utama produksi animasi itu sejak tahun 1997 lagi sehingga kelab telah didaftarkan secara sah di JPPM pada tahun 2021.
Kelab Keluang Man yang sehingga kini masih teguh dan aktif dalam industri seni tempatan sentiasa memastikan Keluang Man dingati oleh para peminat adiwira yang boleh dianggap sebagai khazanah negara.
Galeri Kamn Ismail adalah syarikat yang menjaga semua Intelectual Property (IP) dan karya ciptaan Kamn Ismail.
Merangkumi segala hasil karya dan kejayaan Kamn Ismail termasuklah beribu bahan penulisan, skrip, bahan kajian, lukisan beliau, beratus siri animasi, komik dan anugerah yang telah dicapai oleh Kamn Ismail di sepanjang hayat beliau di dalam industri seni animasi tanah air.
Malah syarikat animasi tokoh animasi itu iaitu Quest Animation Studio sehingga kini masih wujud dan diamanahkan kedua-dua syarikat yang diuruskan oleh anak beliau iaitu Dalila Hj. Kamarudin dan menantu beliau iaitu Muhamad Firdaus Hj. Omar.
Pementasan Teater Keluang Man akan berlangsung di Studio Sedar Ruang pada 24 hingga 26 April jam 8:30 malam manakala 27 April pula pada jam 3 petang dan 8:30 malam.
Teater Keluang Man dibintangi oleh Han Zalini, Cristina Suzanne, Jay Iswazir dan Azman Hassan manakala diarahkan oleh Walid Ali.
Tiket boleh dibeli dengan harga RM48 dan RM58 (free seating) bermula hari ini.
Must-Watch Video