Laman Utama
#GempakWrapped2023: Gemilang Dunia Sukan, Tumbukan 36 Saat Jojo, Rekod Legosam, Sensasi Pecut Qabil Irfan, Cemerlang Regu Aaron Chia & Soh Wooi Yik
Dunia sukan Malaysia pada tahun 2023 menyaksikan banyak sejarah dicetak dan kecemerlangan yang dipertahankan oleh para atlet demi mengharumkan nama negara di mata dunia.
Tidak hanya tertumpu pada satu bidang sukan misalnya bola sepak, atlet Malaysia menggerunkan lawan dari seluruh dunia termasuk dalam sukan muay thai dan litar lumba.
Siapa mereka dan apakah pencapaian yang telah diraih? Semak gemilang dunia sukan versi #GempakWrapped 2023.
1. Tumbukan 36 Saat Jojo Ghazali Buat Sukan Muay Thai ‘Seksi’
Nama yang paling trending dan sangat hangat di seluruh negara saat ini adalah Johan Jojo Ghazali.
Pada khalayak yang tidak pernah mengenal siapa Jojo Ghazali, sejarah yang dicetak pemilik nama sebenar Muhammad Johan Ghazali Zulfikar dalam sukan muay thai adalah sesuatu yang sangat memukau.
Jojo yang baru berusia 17 tahun ini telah menumbangkan juara Muay Thai Antarabangsa WBC dari Mexico, Edgar Tabares dalam penampilan sulung aksi Primetime US, ONE Championship, pada 8 Disember lalu.
Anak kelahiran Sarawak ini malah mencetak sejarah apabila menumpaskan Tabares dalam tempoh 36 saat pertarungan bermula!
Dan itu bukan satu-satunya rekod yang pernah dicipta Jojo. Pada Februari lalu Jojo menumbangkan Padetsuk Fairtex dari Thailand dengan masa terpantas hanya 16 saat pada kemunculan sulung di arena ONE Championship ketika usianya hanya 16 tahun.
2. Kuasa Pecutan Qabil Irfan, Usia 11 Tahun Rangkul Juara Dunia
Saat rakan sebaya mungkin baru belajar cara mengayuh basikal dengan betul namun lain halnya buat Qabil Irfan Azlan.
Baru berusia 11 tahun, kanak-kanak ini adalah pelumba cilik negara yang mencipta sensasi tersendiri selepas merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol.
Ia merupakan pencapaian tertinggi Qabil yang berasal dari Kuala Terengganu ini.
Qabil adalah anak kepada bekas pelumba motosikal cubprix, Azlan Abd Rahman dan telah berlumba sejak usia empat tahun di bawah didikan dan kepakaran ayahnya sendiri.
3. Sensasi B-Boy Lego Sam, Pemenang Emas Sukan SEA Kemboja
Menyebut nama Sam Jee Lek mungkin tidak ramai yang mengenalinya.
Namun jika nama Lego Sam diperkenalkan, dunia sukan tarian (dancesport) pasti cukup mengenali siapa gerangan pemuda ini.
Berusia 28 tahun, Lego Sam adalah pemenang pingat emas ke-31 Malaysia apabila mengungguli saingan ‘breaking (b-boy)’ lelaki pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu.
Kemenangan tersebut menjadikan Lego Sam kini menduduki ranking ke-65 dunia dalam sukan yang menjadi kepakarannya itu.
Lego Sam perlu berada di kedudukan 48 dunia dengan sekurang-kurangnya menyertai lapan kejohanan untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Olimpik Paris.
4. Aliff Raqib Terus Cemerlang, Catat Kemenangan KO
Jangan dilupakan, selain Jojo Ghazali seorang lagi petarung Muay Thai negara yang berada pada kelasnya tersendiri, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib juga telah melakar sejarah dalam bidang yang ditekuninya.
Aliff Rakib baru mencipta sensasi di Bangkok, Thailand apabila mencatat kemenangan knockout (KO) dalam ONE Championship yang membolehkannya meraih bonus 350,000 baht (RM46,500).
Aliff yang berumur 19 tahun menumbangkan peserta tuan rumah, Ratchadej Sor Petjumrat dalam kategori Catchweight untuk berat 53 kilogram dengan hanya beraksi kurang seminit di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok.
Sebelum ini, Aliff merupakan pemenang pingat emas pada Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu dan dia juga meraih pingat emas buat dua tahun berturut-turut pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA iaitu pada 2021 dan 2022.
5. Team Danny Juara Pertama Battleground Malaysia: Road To Gold
Havoc dan sukses, begitulah berakhirnya pertandingan Battleground Malaysia: Road To Gold yang merupakan inisiatif bersama Kementerian Belia dan Sukan yang diperkasakan menerusi program Rakan Muda iaitu Rakan Ekspresi dan Rakan Muzik!
Berkat ketekunan, kreativiti dan semangat juang, Team Danny akhirnya dinobatkan sebagai Juara Battleground Malaysia: Road To Gold. Mereka membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM100,000 sumbangan KBS.
Battleground Malaysia: Road To Gold anjuran Astro merupakan pertandingan tarian jalanan terbesar di Malaysia.
Pada Battleground Malaysia: Road To Gold, penonton menyaksikan tiga pasukan iaitu Team Danny, Team Lego dan Team Seven berentap merebut gelaran Juara Battleground Malaysia: Road To Gold.
Team Lego berjaya meraih Naib Juara manakala Kay dari Team Danny merangkul kategori Juara Individu.
6. Ratu Squash Negara, Sivasangari Subramaniam Terus Unggul
Sejarah turut diukir oleh kem Squash negara apabila Sivasangari Subramaniam menggondol pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou 2023 di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou beberapa bulan lalu.
Sivasangari pernah memenangi pingat perak Sukan Asia 2018 ke atas lawannya, pemain di ranking ke-18 dunia.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan Sivasangari sebagai pemenang pingat emas berganda selepas menggondol emas dalam acara berpasukan wanita sebelum ini.
Terdahulu Sivasangari, bersama pasuka skuasy wanita negara memenangi telah memenangi tiga pingat emas dalam kejohanan sama. Rakan seperjuangan Sivasangari adalah Rachel Arnold dan Aifa Azman.
7. Regu Lelaki Utama Aaron Chia, Soh Wooi Yik Juara Terbuka Denmark
Meski hanya layak ke separuh akhir Sukan Asia Hangzhou 2022, beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik masih berbisa.
Tanpa mengenal putus asa dan mengaku kalah, konsistensi dan sikap juang yang tinggi Aaron dan Soh Wooi akhirnya membuahkan hasil.
Pasangan regu ini mengakhiri kemarau kejuaraan jelajah BWF 2023 dengan menggondol gelaran juara Terbuka Denmark.
Kejayaan ini tercapai selepas mereka mengetepikan cabaran regu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.
Kemenangan tersebut menutup tahun 2023 Aaron dan Soh Wooi dengan sebuah lagi catatan kemenangan yang patut dibanggakan rakyat Malaysia.
8. Terus Pertahan Rekod, Raikan Dengan Sambutan Decade of Dominance JDT 2023
Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) terlalu ampuh untuk ditewaskan apabila mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila menundukkan Terengganu FC 3-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung awal Disember ini.
Kemenangan tersebut menjadikan kelab JDT memahat sejarah sebagai pasukan pertama memenangi empat piala (Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia) semusim buat kali kedua berturut-turut.
Malah, skuad Harimau Selatan juga menyamai rekod Kedah yang memenangi ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.
Dan rekod kejuaran 10 tahun itu lalu diraikan dengan sambutan Decade of Dominance JDT 2023 yang berlangsung dengan gilang gemilang baru-baru ini.
9. Zeppo Youngsterz Dominasi Body Rock 2023, Steady Bawa Pulang Gelaran Juara Dari AS
Laungan Malaysia Boleh sememangnya layak dijadikan slogan buat seluruh rakyat.
Salah satunya laungan tersebut bergema apabila kumpulan tarian Zeppo Youngsterz mencipta sejarah buat tanah air selepas diumumkan sebagai juara Body Rock 2023 di San Diego, California, Amerika Syarikat pada Jun lalu.
Zeppo Youngsterz menjadi pasukan pertama dari negara menjuarai kejohanan tersebut dan mengetepikan cabaran kumpulan tarian lain dari seluruh dunia.
Mereka menewaskan kumpulan dari Mexico (tempat kedua) dan Kanada di tempat ketiga.
Zeppo Youngsterz merupakan sebuah kumpulan hip hop yang ditubuhkan sejak tahun 2011 dan dianggotai oleh anak-anak muda tempatan.
Ia diketuai oleh Faris Azim Bin Abd Karim, 24 tahun dan dianggotai seramai 24 orang anak muda yang mempunyai bakat luar biasa.
Must-Watch Video