Nusantara
Gempak Star Of The Week: Luqman Abu Bakar Peminat Tapir, Menangis Gara-Gara Disneyland
Jika sebelum ini dubsmash (teknik meniru pergerakan dan suara video) menjadi fenomena di platform media sosial, berbeza dengan Luqman Abu Bakar yang memperkenalkan teknik dub-over.
Bermaksud semua video yang dihasilkan semula mempunyai suara voice over yang dirakamkan sendiri mengikut pergerakan mulut dan bahasa badan video asal.
Luqman, 25, yang berasal dari Singapura berkongsi pengalaman dan cerita menarik di sebalik hobi uniknya itu.
1. Siapa Luqman Abu Bakar
Popular dengan panggilan Luqy di Instagram, Luqman merupakan penuntut tahun akhir Universiti Kebangsaan Singapura dalam bidang pengurusan pembinaan dan bangunan.
Selain aktif di media sosial, Luqman juga gemar bersukan dan menceburi pelbagai bidang seni.
"Saya ketagih melancong dan haiwan kegemaran saya ialah tapir," ringkasnya ketika ditemu bual.
2. Video kelakar selepas break up
Mula menghasilkan video berunsur jenaka selepas berpisah dengan kekasihnya empat tahun lepas.
Asalnya sebagai hobi untuk mengisi kekosongan hati namun lama-kelamaan Luqman seronok.
"Saya pernah mencuba dubsmash untuk mencabar diri lebih kreatif tapi ternyata saya lebih cenderung ke arah parodi," katanya.
3. Peminat Disney
Kebanyakan video dub-over Luqman diambil daripada filem Disney.
"Saya hantu Disney! Setiap kali pergi Disneyland setiap kali itulah saya menangis sebab terlalu minat dengan animasi Disney," kata Luqman teruja.
Kebanyakan video yang dihasilkan mengetengahkan aspek sosial, politik, agama dan bangsa
"Saya orang serius dan cerewet apabila membuat kerja kreatif. Kalau skrip tak memuaskan saya tidak akan teruskan.
"Saya tidak mahu mencetuskan kontroversi murahan semata-mata mahu viral," tegasnya.
4. Tuduh kafir
Cemuhan paling teruk pernah diterima Luqman apabila ada netizen menuduhnya kafir.
"Komen sebegini datang daripada golongan yang tidak disangka-sangka.
"Mungkin banyak video saya bersifat kontroversi tetapi agama itu soal peribadi," jelasnya.
5. Halimah Yacob seperti ibu
Luqman pernah dua kali bertemu dengan presiden wanita pertama Singapura yang baru dilantik minggu ini, Halimah Yacob dan sangat menyenangi keperibadian wanita itu.
"Beliau pernah memberikan bantuan biasiswa kepada saya beberapa tahun lalu.
"Orangnya lemah-lembut, berbudi pekerti baik dan ibarat seorang ibu.
"Saya yakin beliau dapat menjalankan tugasnya dengan baik," katanya.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @luqmanabubakar
Must-Watch Video