VIRAL
"Gegaran Seperti Gempa Bumi, Barang Sekitar Rumah Sudah Cair" - Mangsa
Gegaran seperti gempa bumi - itu yang dirasakan penduduk setempat susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, pagi ini.
Seorang mangsa Tan Jia Shin, 17, berkata ketika kejadian beliau bersama ibunya yang sarat mengandung dan bapa serta dua adik beradiknya berada di dalam rumah, merasakan gegaran kuat kira-kira 8 pagi.
"Kami semua bergegas keluar dan melihat api sedang marak, lokasi kejadian itu cuma dua lorong daripada rumah kami.
"Ketika itu kami hanya fikir keselamatan ibu yang mengandung, kami keluar dari rumah tanpa membawa apa-apa termasuk kereta, dengan bantuan pihak bomba," katanya ketika ditemui Bernama.
Seorang mangsa yang cedera di kaki kiri akibat melecur, Lee Weng Ken, 42, berkata beliau terkejut melihat siling rumahnya terjatuh dan menghempap kenderaan miliknya di perkarangan rumah dalam kejadian pagi ini.
"Saya terus keluar dari rumah namun saya terjatuh dan cedera akibat haba daripada kebakaran yang berlaku berhampiran rumah," katanya.
Sementara itu seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Andy, 52, berkata rumahnya terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kebakaran.
Semasa kejadian, beliau bersama dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 18 tahun dapat merasakan gegaran, dan mereka terus keluar daripada rumah selepas melihat api yang sedang marak.
"Saya hanya sempat bawa keluar kereta. Anak perempuan saya yang berumur 18 tahun cedera di kaki selepas terjatuh semasa memanjat pagar, akibat haba yang melampau.
"Kebanyakan barang di sekitar rumah sudah cair, menyukarkan kami keluar dari rumah," katanya.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan ringan di tempatkan di kuil Sri Maha Kaliamman, Subang Jaya untuk menerima rawatan awal daripada petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Setakat 11 pagi ini 30 orang menerima rawatan awal, dan beberapa orang di hantar ke Hospital Serdang, Putrajaya dan Cyberjaya untuk rawatan lanjut.
Sementara itu bekas wartawan sebuah syarikat televisyen tempatan Aidil Ghafar berkata beliau merasakan gegaran pada 8.20 pagi.
"Apabila saya buka pintu rumah, saya terhidu bau gas dan merasa bahang api," katanya dan menambah lokasi kejadian kebakaran itu terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
Beliau yang tinggal di kawasan itu selama kira-kira 10 tahun berkata, sejak dua hari lepas kerja-kerja mengorek telah dilaksanakan di lokasi berhampiran rumahnya itu, dan beliau percaya ia adalah lokasi kedudukan saluran paip gas.
Sumber: Bernama
Foto: Berita Harian, Malaysia Gazette
Must-Watch Video