Hiburan
Ganti Watak Intan Dalam Andai Tiada Dia, Alicia Amin Bersyukur Diberi Peluang - "Bila Lagi Nak Dapat…”
Pelakon dan model, Alicia Amin akui terkejut apabila menerima tawaran untuk mengantikan watak Intan dalam drama sensasi, ‘Andai Tiada Dia’.
Menurut Alicia, selepas mengetahui perkara tersebut dia terus menghubungi aktres Mimi Lana kerana risau terjadi apa-apa sepanjang berlakon drama tersebut.
"Bila saya dapat tawaran ini saya terus hubungi Mimi Lana. Tanya semua okay atau tidak.
"Namun dia jelaskan tiada apa yang berlaku semua hanya kerana jadual.
"Saya risau juga, jadi saya tanya dia boleh ke saya buat, sebab saya dah tengok beberapa episod, ini sangat gila sebab saya dengan pelat-pelat saya. Tapi dia yakinkan saya yang saya boleh lakukan,” katanya kepada Gempak.
Alicia atau nama lengkapnya Raja Alicia Raja Amin, menyatakan dia sangat bertuah kerana dapat melaksanakan watak Intan dengan baik atas bantuan krew produksi.
"Saya tahu ia bukan alasan, namun persediaan untuk saya bawa watak Intan tidak lama tapi saya cuba buat yang terbaik dengan kerjasama pengarah dan semua yang terlibat," ujarnya.
Pada masa sama, bekas peserta Asia’s Next Top Model Musim kelima itu juga menyatakan dia juga bersyukur diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada drama Andai Tiada Dia.
"Ye kembalikan Intan yang lama, itu yang saya fikir sepanjang shooting.
"Mimi Lana yang buat semua ni saya yang kena. Apa pun saya sangat bersyukur kerana dapat peluang ini. Bila lagi nak dapat mainkan watak yang lebih besar dari saya sendiri," tambahnya.
Sinopsis
‘Andai Tiada Dia’ mengisahkan pasangan Suri, (Ummi Nazeera) dan Haikal, (Hisyam Hamid) yang sudah 7 tahun mendirikan rumah tangga namun masih belum dikurniakan zuriat.
Tertekan dengan situasi sekeliling, Suri meminta izin kepada Haikal untuk melakukan IVF namun tidak diambil endah oleh Haikal kerana sudah selesa dan bahagia hidup tanpa memiliki anak.
Kematian Hisyam, adik kepada Haikal, meninggalkan seorang bayi malang berusia 4 bulan dan menggerakkan hati Suri untuk mengambilnya sebagai anak angkat.
Kehadiran Intan (Mimi Lana), adik kepada Suri dalam rumah tangga mereka mengeruhkan lagi keadaan apabila Haikal dan Intan mula menjalinkan hubungan sulit semasa Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.
Drama yang menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana dan juga Zahiril Adzim itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
Must-Watch Video