HIBURAN
Gamechangers Himpun Ikon Sukan & Seni Negara!
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menganjurkan sebuah seminar berimpak tinggi bertajuk “Gamechangers: Antara Budaya dan Sukan” yang akan berlangsung pada 19 Jun 2025 di Chow Kit @ FSSK, UKM Bangi.
UKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa program bertemakan “Dari Gelanggang ke Panggung Dunia: Cerita Budaya dan Sukan Malaysia” itu merupakan inisiatif pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi bagi Kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya (SKKP6063).
Menurut kenyataan itu, seminar ini bukan sahaja mengetengahkan kisah kejayaan atlet dan artis, malah lebih penting lagi, kejayaan mereka sebagai duta budaya yang membawa wajah Malaysia ke pentas global melalui komunikasi, adaptasi dan semangat nasionalisme.
"Dalam era pascaglobalisasi, kemampuan berkomunikasi secara berkesan merentas budaya bukan lagi satu kelebihan.
"Ia adalah keperluan asas bagi mana-mana individu yang mewakili negara di peringkat antarabangsa.
"Justeru, seminar Gamechangers: Antara Budaya dan Sukan dirangka khusus bagi membuka ruang wacana dan kesedaran tentang komunikasi antarabudaya dalam konteks sukan serta budaya popular, menerusi pengalaman sebenar para atlet dan artis yang telah melangkah ke pentas dunia,” jelas kenyataan itu pada Rabu.
Seminar ini akan menghimpunkan ikon sukan negara seperti Al Jufferi Jamari, Norshahrul Idlan Talaha, Adli Hafidz, Amisha Azrilrizal, Ali Yaakub dan Sharul Aimy yang akan berkongsi pengalaman mereka menempuh cabaran budaya ketika mewakili Malaysia.
Turut memeriahkan acara ialah persembahan artis tanah air seperti Noraniza Idris, Mawi dan Tomok yang menyampaikan mesej budaya dalam bentuk muzik.
Tambah UKM, secara keseluruhan, Gamechangers memberi fokus kepada pemerkasaan mahasiswa dan peserta untuk menjadi warganegara global yang berakar kepada nilai tempatan.
“Ia boleh dilakukan dengan memahami siapa diri mereka sebagai rakyat Malaysia dan bagaimana membawa identiti tersebut dengan bangga serta berkesan dalam ruang budaya yang pelbagai.
“Selain itu, program yang disusun sepenuhnya oleh mahasiswa sarjana UKM ini merupakan 30 peratus daripada penilaian kursus.
“Dalam masa sama, ia bertujuan untuk memperlihatkan gabungan teori dan aplikasi sebenar dalam pengurusan acara, komunikasi strategik serta kerjasama industri,” ujarnya.
UKM turut memaklumkan bahawa selain memberi impak kepada peserta, seminar ini juga dijangka meningkatkan kesedaran tentang diplomasi budaya dalam kalangan anak muda dan mendorong integrasi nilai budaya dalam latihan serta pembinaan atlet.
“Seterusnya, ia diharap menjadi pelopor kepada model program berkala yang menggabungkan elemen sukan dan budaya di peringkat universiti serta kebangsaan.
“Program ini turut mendapat sokongan industri daripada ICON Entertainment by Iman Tang, Sinar Harian, ERA dan Astro Gempak sebagai rakan kerjasama media dan strategik,” tambah kenyataan itu.
Must-Watch Video