GAYA HIDUP
#FinancialFaiz: Kenapa Kredit Kad Tak Lulus? Empat Sebab Yang Anda Perlu Tahu
Ramai yang kecewa bila permohonan kad kredit mereka tidak lulus, sedangkan mereka merasakan sudah memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menurut Pendidik Kewangan, Faiz Azmi, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan permohonan kad kredit seseorang ditolak oleh pihak bank.
1. Pendapatan Tidak Mencukupi
Ramai yang beranggapan bahawa jika pendapatan mereka melebihi RM2,000 sebulan, mereka layak untuk memiliki kad kredit. Namun, hakikatnya setiap bank mempunyai syarat kelayakan tersendiri yang mungkin lebih tinggi daripada minimum yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Jadi, sekiranya permohonan anda ditolak atas faktor pendapatan, kemungkinan besar syarat minimum bank tersebut lebih tinggi daripada apa yang anda jangkakan.
2. Rekod CCRIS & CTOS Yang Buruk
Setiap transaksi kredit yang anda lakukan akan direkodkan dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan CTOS, yang menjadi rujukan utama bank sebelum meluluskan permohonan kad kredit.
Semasa permohonan, bank akan memeriksa gaji anda melalui sistem EPF dan menilai rekod CCRIS serta CTOS untuk melihat sejauh mana anda seorang peminjam yang bertanggungjawab.
3. Komitmen Kewangan Yang Tinggi
Pendapatan yang tinggi tidak menjamin kelulusan kad kredit jika komitmen kewangan anda juga tinggi.
Bank akan mengira Debt Service Ratio (DSR) untuk melihat jumlah hutang yang perlu anda bayar setiap bulan berbanding pendapatan anda.
"Mungkin gaji anda RM10,000, tetapi kalau hutang bulanan anda RM8,000, bank akan melihat ini sebagai risiko tinggi. Mereka perlu melindungi kepentingan mereka kerana ada kemungkinan anda tidak mampu membayar hutang kad kredit nanti." kata Faiz.
Jika jumlah hutang anda terlalu tinggi, kebarangkalian permohonan anda ditolak adalah tinggi walaupun anda membayar semua hutang tepat pada masanya.
4. Rekod Kredit Terlalu ‘Bersih’
Agak pelik, tetapi ada individu yang tidak pernah mempunyai hutang langsung turut menghadapi masalah untuk mendapatkan kelulusan kad kredit.
"Kalau korang tak ada hutang pun, bank boleh reject sebab rekod CCRIS terlalu clean. Bank sukar untuk menilai sama ada anda mampu menguruskan hutang atau tidak. Cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan menggunakan kad kredit jenis pledging."
Kad kredit pledging membolehkan pemohon mendapatkan kad kredit dengan mendepositkan sejumlah wang dalam akaun simpanan tetap sebagai cagaran.
Satu perkara yang ramai tidak tahu, bank tidak wajib memberikan alasan mengapa permohonan kad kredit seseorang ditolak.
Jadi, jika permohonan anda ditolak, jangan cepat panik. Sebaiknya, semak kembali faktor-faktor di atas dan cuba perbaiki rekod kewangan anda sebelum membuat permohonan semula.
Bagi mereka yang ingin memiliki kad kredit dengan lebih mudah, mulakan dengan membina sejarah kredit melalui pinjaman kecil atau kad kredit jenis secured untuk meningkatkan skor kredit anda.
Must-Watch Video