SUKAN
Faisal Halim Kongsi Tragedi Hitam Kepada Media Antarabangsa - “Saya Tak Takut Tapi…”
Insiden mengenai penyerang Selangor, Faisal Halim, kembali menggegar dunia apabila tragedi yang menimpa dirinya memasuki atmosfera antarabangsa.
Menerusi laman rasmi BBC (British Broadcasting Corporation), media ternama dunia itu mendedahkan perbualannya bersama bintang Harimau Malaya itu berkenaan kes simbahan asid yang berlaku tahun lalu.
Dengan tenang, bekas pemain Terengganu itu berkongsi episod duka itu, sambil menonjolkan sisi kebangkitan untuk bermain bola sepak semula.
"Saya tidak takut, tetapi saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi.
"Saya akan terus pulang ke rumah selepas selesai sesi latihan," katanya.
Ia dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab menyerang Faisal Halim sehingga melecur tahap empat dan terpaksa menjalani rawatan di hospital dengan pelbagai kaedah.
Bukan sekadar parut, ia juga meninggalkan kesan kepada emosi dan mental malah memori yang perlu dibuang jauh oleh Faisal Halim.
"Ia adalah waktu yang sukar jika diimbas kembali. Banyak perkara telah berubah.
"Ada ketika saya seperti tidak mahu lagi bermain bola sepak kerana takut.
"Seluruh Malaysia mendoakan saya. Ia memberi saya lebih semangat untuk bermain semula," tambahnya.
Berkat usaha gigih dan peningkatan prestasi, bintang Harimau Malaya itu berhasil menembusi semula skuad kebangsaan menerusi minit permainan positif yang ditampilkan.
Dan, Faisal Halim dalam misi membantu Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia 2027 dan segera menjadi watak penting Selangor menjelang musim hadapan.
Sumber: Stadium Astro
Must-Watch Video