BERITA
"Esok Majlis Nikah Saya, Tak Sangka Jadi Majlis Tahlil"
“Esok majlis akad nikah saya, tidak sangka bertukar menjadi majlis tahlil,” luah Mohd Syafiq Abdul Rahim, 24, adik kepada salah seorang mangsa kemalangan maut di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai pada Jumaat.
Dalam kejadian tragis itu, kakaknya Nurul Ain Abdul Rahim, 39, anak tunggalnya Nur Atikah Najihah Mohd Shah Penilzain, 18, dan menantu Mohamad Faris Kamaludin, 24, maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres kira-kira jam 11.20 pagi.
Mohd Syafiq berkata, ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Kelantan dari Johor sambil membawa barangan hantaran perkahwinan yang disediakan khas untuk majlis akad nikahnya pada Sabtu.
“Hantaran itu digubah oleh anak saudara. Kali terakhir kami berhubung pada jam 10.30 pagi, kakak maklumkan mereka ikut jalan Gua Musang. Kereta dipandu menantu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra.
Tambahnya, kakaknya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu lazimnya akan menggunakan laluan Lebuh Raya Pantai Timur, namun kali ini memilih jalan Gua Musang atas cadangan aplikasi navigasi Waze.
“Kami dah beberapa kali larang guna laluan itu. Saya pula dari semalam rasa berdebar... rupa-rupanya petanda saya akan kehilangan kakak serta anak-anak saudaranya,” katanya sebak.
Keluarga mendapat tahu kejadian lewat petang selepas melihat laporan media sosial dan mengesahkan kenderaan mangsa ialah sebuah Perodua Myvi biru yang terlibat dalam nahas tersebut.
Majlis akad nikah Mohd Syafiq yang dijadual berlangsung di Besut, Terengganu pada Sabtu, dan majlis menyambut menantu pada Ahad di Kampung Kayu Rendang, Melor, kini ditangguhkan.
“Saya tunggu keputusan keluarga pengantin perempuan. Kalau ikut perancangan, majlis sepatutnya berlangsung dua hari,” katanya.
Jenazah ketiga-tiga mangsa akan dikebumikan di Kampung Kayu Rendang selepas proses bedah siasat selesai.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat memaklumkan, siasatan awal mendapati kereta mangsa cuba memotong kenderaan lain namun tidak sempat, lalu bertembung dengan bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.
“Pemandu dan dua penumpang kereta maut di tempat kejadian akibat tersepit. Pemandu bas berumur 43 tahun hanya cedera ringan terkena serpihan cermin, manakala semua penumpang bas selamat,” katanya.
Kejadian tragik ini sekali lagi mengingatkan pengguna jalan raya tentang risiko melalui laluan berselekoh dan sempit terutama di kawasan berbukit seperti laluan Gua Musang-Kota Bharu.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video