HIBURAN
Erma Fatima Kongsi Pengalaman 'Join' Kumpulan Agama - “Ada Budak Perempuan Beritahu Saya Yang Tok Guru Itu Telah….”
Pengarah dan penerbit, Erma Fatima mendedahkan drama arahannya yang menjadi kontroversi iaitu Bidaah sebenarnya diinspirasikan daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Ramad Ali, 56, dia sendiri pernah menyertai sebuah kumpulan agama beberapa tahun lalu yang pada awalnya dilihat menyampaikan ajaran yang baik dan sahih.
Namun, pengalaman tersebut berubah menjadi detik hitam apabila seorang gadis dari kumpulan itu menghubunginya dan mendedahkan perbuatan keji ‘tok guru’ mereka.
“Saya sebenarnya pernah berada dalam kumpulan seperti itu beberapa tahun yang lalu. Apabila saya duduk dalam kumpulan itu, ajarannya, zikirnya betul.
“Dari situ juga saya belajar untuk zikirkan diri saya setiap hari, semua ilmu agamanya sangat sempurna. Sehingga anak-anak jemaah di situ menganggap saya sebagai ibu mereka.
“Anak-anak ini yang masuk nak kenal tuhan, mak ayah hantar ke pondok dalam tu namun satu hari saya dapat panggilan daripada budak perempuan yang menetap di situ memberitahu kepada saya Tok Guru itu telah menidurinya dan bukan hanya dia malah beberapa perempuan lain juga.
“Ini bukan satu pembohongan tapi itulah yang terjadi sama seperti dalam karya saya,” kongsinya.
Selain itu, pelakon filem Laila Isabella turut meluahkan kekecewaan terhadap individu yang disanjung sebagai guru agama namun menyalahgunakan kedudukannya.
Walaupun tidak mendedahkan lokasi kumpulan tersebut, Erma mengesahkan ia berlaku di luar kawasan Kuala Lumpur dan mangsa terdiri daripada remaja belasan tahun.
“Mereka berusia 20, 19 tahun. Perkara ini berlaku bukan di Kuala Lumpur namun di luar, Saya bawa keluar mereka semua daripada tempat itu ke rumah letakkan Al-Quran dihadapan mereka untuk mendapatkan kebenaran daripada mereka.
“Menangis saya mendengar…tangisan saya ini kepada guru itu kerana dia telah mendidik kami dengan agama tapi dia melakukan sebaliknya . sebab itu saya menangis, saya tidak berbohong sebab itu saya hasilkan karya itu,” ujar Erma.
Pada masa sama, Erma turut mengingatkan kepada ibu bapa untuk menyelidik terlebih dahulu sekiranya mahu hantar anak-anak mereka ke kelas agama.
“Kenapa sanggup melakukan itu, sampai ke tahap menjual maruah. Dalam agama tidak ajar itu, jadi agamanya tidak salah, Islam itu tidak pernah salah tapi yang salah mereka yang menyalahgunakan Islam.
“Saya buat cerita itu bukan nak jatuhkan islam tapi saya nak ingatkan kepada anak-anak muda luar sana, ibu bapa jangan pilih jalan pintas untuk jadikan anak ini baik terus hantar ke sekolah pondok tanpa anda tahu siapa mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, drama arahan Erma mendapat kritikan pedas daripada netizen kerana menganggap karyanya itu seolah-olah mahu menjatuhkan Islam.
Meskipun menerima pelbagai respon, Erma tidak melenting malah menerima setiap teguran yang diberikan kepadanya.
Must-Watch Video