HIBURAN
Emma Maembong Akui Sedih Beraya Solo, Kuat Demi Anak-Anak – “Kami Tetap Ambil Gambar Raya Berempat”
Pelakon Emma Maembong mengakui rasa berbeza menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini selepas kembali solo.
Kongsi Emma, 33, dia berasa sedih namun tetap meraikan hari mulia tersebut demi anak-anak tersayang.
“Tahun ini berbeza sedikit sebab saya kembali beraya bersama keluarga. Saya beraya untuk anak-anak, semua demi mereka.
“Anak-anak dah besar, mereka pandai minta duit raya dan baju raya. Saya luangkan masa bersama mereka.
“Sudah tentu sedih, akan ada perbezaan. Tapi tak berasa janggal sebab saya dan bekas suami sangat rapat dan baik,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pelakon Seribu Tahun itu turut mengakui hubungannya bersama bekas suami, Muhammad Shazli Azhar dalam keadaan sangat baik.
Malah, Emma memaklumkan dia dan Shazli membuat persiapan raya anak-anak bersama-sama.
“Saya pernah cakap dulu, apa pun jadi walau kami dah tak bersama, tetap kena ambil gambar berempat sebagai keluarga.
“Setiap tahun akan ada gambar raya berempat dan tiada perubahan supaya anak-anak tahu pengalaman membesar mereka tiada yang berubah.
“Tak kira gambar hari raya atau hari jadi tetap kena berempat.
“Kami baik saja, kami juga pergi beli baju raya sama-sama untuk anak-anak,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 sebelum mengumumkan penceraian pada 7 Oktober 2024.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Must-Watch Video