HIBURAN
Elisya Sandha ‘Sembur’ Jofliam Tak Sensitif Isu Epidural - “Ia Satu Penghinaan, Fikirlah Dulu Sebelum Cakap”
Pelakon Elisya Sandha menganggap tindakan pempengaruh dan usahawan, Jofliam yang pernah melabel ibu hamil mengambil suntikan epidural ketika melahirkan anak sebagai ‘cheat code’ adalah satu penghinaan.
Menurut Elisya, dia menegaskan lelaki tidak memahami pengalaman melahirkan anak dan seharusnya berfikir sebelum bercakap serta menghormati pilihan wanita.
“Bab ini saya sangat emosi sebab lelaki tak pernah ada di tempat perempuan yang hamil dan mahu bersalin dan awak boleh cakap epidural itu adalah ‘cheat code’?.
“Hello, nak cakap sesuatu fikirlah dulu, kalau bukan bekas isteri awak pun pergilah tanya kawan atau ibu anda. Tanyalah pakai atau tidak epidural itu apa bezanya.
“Kita zaman moden sekarang ini tak perlu merendahkan orang lain,” katanya kepada Gempak.
Elisya ditemui pada majlis Pung Pang Raya anjuran Metrowealth di sebuah hotel di Petaling Jaya pada Jumaat.
Elisya yang kini hamil bayi kedua itu turut menegaskan bahawa melahirkan anak sama ada dengan atau tanpa epidural bukanlah ‘cheat code’, dan menganggap kenyataan seumpama itu satu penghinaan yang tidak sensitif terhadap ibu mengandung.
“Ambil atau tidak epidural, kita tetap lahirkan seorang manusia daripada badan dan ia bukan ‘cheat code’.
“Saya sedang hamil dan akan melahirkan, sudah tentu saya sensitif. Tak baiklah cakap begitu.
“Ia sebuah penghinaan, fikirlah dulu sebelum cakap,” tegas menantu kepada pelakon dan penerbit, Sheila Rusly itu.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila netizen menghentam Jofliam apabila tersebar sebuah perbualan yang memaparkan dia melabel ibu hamil yang mengambil suntikan epidural ketika melahirkan anak sebagai ‘cheat code’.
Sedar nama menjadi bualan hangat, Jofliam tampil membuat permohonan maaf terutamanya kepada kaum wanita.
Must-Watch Video