Laman Utama

DYTM Raja Muda Selangor & Youth Community Anjur Jelajah Basikal 600KM Sempena Hari Malaysia 2022

gempak
Amri Hassan
17/09/2022
03:14 MYT
Sponsor Banner
DYTM Raja Muda Selangor & Youth Community Anjur Jelajah Basikal 600KM Sempena Hari Malaysia 2022
Duli Yang Teramat Mulia (D.Y.T.M.) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menganjurkan jelajah berbasikal sambil beramal sempena sambutan Hari Malaysia 2022.
Program Jelajah Selangor 600 ini telah melalui 9 daerah di Selangor sejauh 600 kilometer bermula pada 6 September 2022 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan berakhir di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya pada Jumaat.
Tujuan jelajah berbasikal sambil beramal yang telah dianjurkan sebanyak dua kali sejak 2020 ini telah diilhamkan oleh DYTM Raja Muda Selangor sebagai salah satu inisiatif baginda untuk mendekati rakyat dan membantu komuniti yang memerlukan melalui penyerahan sumbangan sepanjang 5 hari program ini berlangsung di samping dapat menjelajah secara berbasikal ke tempat-tempat menarik sekitar Selangor.
Antara lokasi menarik di sepanjang perjalanan adalah seperti kawasan sawah padi, lokasi bersejarah, kilang kopi Selangor, perkampungan orang asli dan pelbagai lagi.
Jelajah Selangor 600 ini juga berteraskan aspek pembangunan belia dengan mengetengahkan barisan atlet muda yang juga merupakan atlet berbasikal negeri Selangor iaitu Muhamad Qayyim Mohd Saipul Anuwai, Zamirul Azrezza Zulkefli, Muhamad Iqbal Zuraini dan Muhammad Adam Haiqal Mohd Shairul Faizal.
Atlet-atlet muda ini telah diiringi oleh Pembantu Jurulatih bahagian Pembangunan Persatuan Berbasikal Negeri Selangor, En. Muhamad Rauf Nur Bin Misbah sepanjang tempoh jelajah.
Di bawah aspek komuniti pula, terdapat lebih 6 buah pusat komuniti yang diberikan bantuan dalam pelbagai bentuk seperti barangan keperluan, set hidroponik, kelengkapan sukan dan juga set komputer sepanjang 5 hari jelajah berbasikal ini berlangsung.
Antara pusat kebajikan yang menerima sumbangan adalah Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim Baitul Barokah Wal Mahabbah di Sepang, Asrama Baitul Rahmaniah di Hulu Selangor, Pusat Kebajikan Warga Emas (Cina) dan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sabak Bernam, Pertubuhan Kebajikan Ehsan As-Shakur dan Pertubuhan Kebajikan Ephrata di Rawang.
Pada hari terakhir Jelajah Selangor 600 iaitu 10 September 2022, pasukan Jelajah Selangor 600 bersama-sama DYTM Raja Muda Selangor telah berkenan untuk memberikan sumbangan kepada beberapa pertubuhan kebajikan di sekitar Rawang.
Antara bantuan yang disampaikan adalah sumbangan wang dan barangan bernilai RM20,000.00 untuk rumah-rumah yang dipilih, tajaan daripada Selangor Youth Community (SAY), Yayasan Raja Muda Selangor dan Worldwide Holdings Berhad.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024