HIBURAN
Dr Ashraff, Da’i Izzhar Kembali Bawa Harapan Dalam 'Jalan Pulang'
Selepas kejayaan luar biasa siri pertama, program Jalan Pulang kini kembali dengan naskhah kedua yang lebih menyentuh jiwa.
Dua pendakwah berpengaruh, Ustaz Dr Ashraff Amirul dan Da’i Izzhar Nazri, sekali lagi berganding dalam projek istimewa bertajuk Jalan Pulang Tenang dan Menang di Akhir Zaman.
Kali ini, mesej yang dibawakan lebih dalam. Ia bukan sekadar ceramah agama biasa, sebaliknya sebuah seruan ikhlas untuk kita kembali mencari ketenangan dalam dunia yang kian kusut.
Dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini, Dr Ashraff menjelaskan bahawa Jalan Pulang merupakan ruang refleksi yang membawa jiwa kembali kepada Tuhan.
Bagi Da’i Izzhar, gabungan pemahaman tentang garis masa akhir zaman dengan pendekatan psikologi spiritual menjadi formula penting dalam program ini. Ia bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga menawarkan penyembuhan dan harapan kepada mereka yang sedang bergelut dengan ujian hidup."Kerana hanya mereka yang kembali kepada Allah dengan hati yang hidup akan menjadi orang yang selamat di akhir zaman," katanya dengan penuh makna.
"Kita semua ada luka dan keresahan. Tapi di penghujung segalanya, hanya ada satu jalan paling damai iaitu kembali kepada Allah," jelasnya.
Program kali ini tampil dengan pendekatan lebih segar dan moden. Ia dirangka khusus untuk menarik generasi muda dengan kandungan berbentuk perkongsian inspirasi, sesi refleksi, serta gaya penyampaian yang santai dan jujur. Tidak terlalu formal, tetapi cukup dalam dan menyentuh hati.
Pengurus Jenama Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, yakin pendekatan ini mampu mencipta gelombang baharu dalam penyampaian dakwah kontemporari.
Katanya, kedua-dua pendakwah ini telah menunjukkan kesan positif melalui segmen radio mereka dan kini mahu membawa pengalaman itu ke platform yang lebih besar.
Jalan Pulang Tenang dan Menang di Akhir Zaman akan berlangsung di dua lokasi utama. Kelantan dipilih sebagai destinasi pertama pada 23 Ogos, manakala Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah pada 25 Oktober."Da’i Izzhar dan Dr Ashraff masing-masing ada kekuatan unik. Program ini membuktikan bahawa dakwah boleh disampaikan dalam gaya santai dan rugged namun tetap membawa makna yang besar, khususnya kepada anak muda," ujarnya.
Untuk sebarang maklumat lanjut dan pendaftaran, orang ramai boleh menghubungi Karim di talian 010 582 3055.
Must-Watch Video